Oleh: Helmi Mohd Foad
UMNO menghormati keputusan dan hak mutlak yang telah diambil oleh
Lembaga Pengampunan berhubung permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak.
Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO dalam kenyataan berkata
parti itu menghormati keputusan yang telah diambil oleh Yang di-Pertuan Agong
ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
"Sementara kita mendukung Perlembagaan Persekutuan, UMNO
terkesan dan bersedih dengan keputusan tersebut," kata kenyataan itu hari
ini.
Ahli MT UMNO mengadakan mesyuarat khas tersebut hari ini susulan
kenyataan rasmi Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengenai keputusan
permohonan Najib semalam.
Lembaga tersebut memberikan pengurangan separuh hukuman penjara ke
atas Najib sekali gus menetapkan tarikh pembebasan dari penjara pada 23 Ogos
2028.
Kenyataan itu berkata, UMNO akan tetap meneruskan usaha-usaha
mendapatkan pembelaan terhadap bekas Presiden parti sesuai dengan laras
undang-undang negara.
Di samping itu katanya, kepimpinan parti itu berpegang kepada
keputusan Perhimpunan Agung UMNO yang mahukan usaha pembelaan terhadap Najib
diteruskan.
"UMNO ingin menegaskan, pembelaan terhadap Datuk Seri Najib
dibuat kerana merasakan beliau tidak mendapat keadilan seawal proses
perbicaraan.
"Sehubungan itu, UMNO berharap atas prinsip keadilan, Perdana
Menteri akan sama-sama menjunjung semangat ini," katanya.