UMNO hormati keputusan Lembaga Pengampunan



Oleh: Helmi Mohd Foad



UMNO menghormati keputusan dan hak mutlak yang telah diambil oleh Lembaga Pengampunan berhubung permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.



Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO dalam kenyataan berkata parti itu menghormati keputusan yang telah diambil oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.



"Sementara kita mendukung Perlembagaan Persekutuan, UMNO terkesan dan bersedih dengan keputusan tersebut," kata kenyataan itu hari ini.



Ahli MT UMNO mengadakan mesyuarat khas tersebut hari ini susulan kenyataan rasmi Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengenai keputusan permohonan Najib semalam.



Lembaga tersebut memberikan pengurangan separuh hukuman penjara ke atas Najib sekali gus menetapkan tarikh pembebasan dari penjara pada 23 Ogos 2028.



Kenyataan itu berkata, UMNO akan tetap meneruskan usaha-usaha mendapatkan pembelaan terhadap bekas Presiden parti sesuai dengan laras undang-undang negara.

Di samping itu katanya, kepimpinan parti itu berpegang kepada keputusan Perhimpunan Agung UMNO yang mahukan usaha pembelaan terhadap Najib diteruskan.



"UMNO ingin menegaskan, pembelaan terhadap Datuk Seri Najib dibuat kerana merasakan beliau tidak mendapat keadilan seawal proses perbicaraan.



"Sehubungan itu, UMNO berharap atas prinsip keadilan, Perdana Menteri akan sama-sama menjunjung semangat ini," katanya.

 

No comments: