BERSIH TANPA SOKONGAN REFORMIS PRO ANWAR TERNYATA GAGAL





Semalam kita menyaksikan satu himpunan yang "memalukan" serta memecah rekod pertubuhan Bersih itu sendiri.  Tidak pernah terjadi  semenjak wujudnya Bersih, satu himpunan oleh NGO ini hanya dihadiri tidak sampai 100 orang.  


Ternyata Pengerusi  Bersih yang baru iaitu Muhammad Faizal Aziz tidak bermaya, tiada idea malahan korup idea.  Himpunan semalam menjadi tandatanya orang ramai yang selama ini mengenali Bersih satu nama yang menggerunkan mana-mana kerajaan sebelum ini.  Sebaliknya apa yang berlaku semalam bagaikan perarakan budak-budak sekolah menyambut Maulidur Rasul.  Rakyat keliru apa hala tuju Bersih sekarang?  Mahu reformasi 100 %?  Menolak DNAA?  


Apakah kerajaan sekarang tidak langsung melakukan reform?  Tidak cukup?  Kamu mahu 100 % reform dalam masa lebih kurang setahun?  Kamu yang telah wujud bertahun-tahun semalam pun hanya mampu bawa tidak lebih 100 orang hadir ke himpunan tersebut.  Ertinya kamu telah gagal segagal-gagalnya berbanding dari kepimpinan Bersih di bawah Ambiga dan Maria Chin dulu. 


Mengapa dulu Ambiga dan Maria Chin berjaya menghimpunkan rakyat hampir 100,000 orang membanjiri Kuala Lumpur?  Mereka berjaya kerana perjuangan mereka jelas dan mendapat dokongan dari aktivis politik Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan ketika itu.  Lebih-lebih lagi kerajaan waktu itu jelas melakukan ketidak adilan dengan korupsi berleluasa.  Bersih waktu itu didokong oleh para penyokong reformasi yang telah terlatih ketika era reformasi tahun 1998.  


Kali ini mereka gagal kerana kerajaan yang terbentuk sekarang telah dipimpin oleh tokoh reformasi itu sendiri iaitu DS Anwar Ibrahim.  Benar, reformasi belum mencapai tahap maksimanya, namun untuk menafikan tidak berlaku langsung reform, mungkin kamu buta mata dan hati.  Jangka waktu setahun untuk melakukan reform100 %  yang diperjuangkan puluhan tahun, tidak masuk akal langsung.  


Lebih melucukan, memorandum Bersih diserahkan kepada orang yang "tidak bersih".  Apa yang kamu mahu tunjukkan sebenarnya?  Meskipun himpunan semalam mendapat perhatian dan dipromosikan oleh Pembangkang untuk mereka menangguk di air keruh, namun himpunan Bersih ternyata gagal dan memalukan.  


Apa pun, tahniah kepada pihak keselamatan di bawah kerajaan perpaduan Malaysia Madani yang memberikan ruang yang selesa buat peserta perhimpunan, tanpa sekatan jalan jauh sekali semburan water canon.  Malah, perarakan kamu diiringi oleh anggota-anggota keselamatan.  Manjanya Bersih kali ini.  Bukankah itu salah satu reform oleh kerajaan ?  


WFAUZDIN NS