Parlimen perlu bergerak seiring aspirasi rakyat - Johari Abdul

 



Oleh: Abdullah Zaid



Warga Parlimen diseru terus berkhidmat dengan cekap dan tertib untuk memastikan institusi Parlimen kekal menjadi tonggak demokrasi negara.



Menerusi satu kenyataan, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata sebagai sebuah badan mewakili rakyat, Parlimen adalah landasan penting dalam memastikan dasar dilaksanakan secara efektif dan berkesan melalui mekanisme semak dan imbang.



"Warga Parlimen Malaysia harus bergerak seiring dengan momentum negara yang positif serta ditandakan dengan perkembangan ekonomi sebanyak empat hingga lima peratus pada tahun 2024 di samping nilai pelaburan RM225 billion pada tempoh sembilan bulan pertama 2023," katanya dalam Majlis Amanat Yang di-Pertua Dewan Rakyat di Dewan Bankuet, Blok Utama, Parlimen Malaysia, pagi tadi.



Pada masa sama, beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar atas segala sumbangan dan bakti beliau, khususnya usaha untuk mengembalikan kedudukan insitusi Parlimen.

Description: https://static.wixstatic.com/media/4449e2_1f67aef3514b44aab451e3968f7ce15c~mv2.jpeg/v1/fill/w_360,h_375,al_c,q_80,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/4449e2_1f67aef3514b44aab451e3968f7ce15c~mv2.jpeg

TS Johari (kanan) bersalam perpisahan dengan DS Dr Junaidi yang akan dilantik sebagai TYT Sarawak



Selain itu, Johari mewakili Parimen Malaysia mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas kebijaksanaan baginda sebagai Ketua Negara negara walaupun dilanda badai pandemik dan ketidaktentuan politik.



"Pertimbangan baginda yang amat teliti mengemudi bahtera negara walaupun dilanda badai pandemik dan ketidaktentuan politik, alhamdulillah, negara kita masih kekal aman makmur di atas izin-Nya.



"Tidak lama lagi, DYMM Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar akan dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan akan bersemayam selama lima tahun, berkuat kuasa 31 Januari 2024.



"Umum mengetahui bahawa pendirian Sultan Ibrahim yang tegas menyuarakan pendapatnya secara terbuka mengenai isu-isu dan dasar-dasar Kerajaan," tambah kenyataan itu.



Justeru, Johari bersedia menyahut titah baginda mengenai isu-isu yang dekat dengan hati rakyat dan warga Parlimen Malaysia yang bekerja di institusi yang bertindak sebagai wadah suara nurani rakyat bekerjasama menggembleng tenaga meningkatkan prestasi Parlimen.



Hal itu katanya, boleh dilakukan dengan mendemokrasikan Parlimen dan mendekatkan Parlimen kepada rakyat melalui pelbagai program jangkauan untuk memberi kefahaman kepada rakyat tentang sistem Parlimen.



*Foto kredit: Parlimen Malaysia

 

No comments: