Oleh: Abdullah Zaid
Warga Parlimen diseru terus berkhidmat dengan cekap dan tertib
untuk memastikan institusi Parlimen kekal menjadi tonggak demokrasi negara.
Menerusi satu kenyataan, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri
Johari Abdul berkata sebagai sebuah badan mewakili rakyat, Parlimen adalah
landasan penting dalam memastikan dasar dilaksanakan secara efektif dan
berkesan melalui mekanisme semak dan imbang.
"Warga Parlimen Malaysia harus bergerak seiring dengan
momentum negara yang positif serta ditandakan dengan perkembangan ekonomi
sebanyak empat hingga lima peratus pada tahun 2024 di samping nilai pelaburan
RM225 billion pada tempoh sembilan bulan pertama 2023," katanya dalam
Majlis Amanat Yang di-Pertua Dewan Rakyat di Dewan Bankuet, Blok Utama,
Parlimen Malaysia, pagi tadi.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada
Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar atas segala
sumbangan dan bakti beliau, khususnya usaha untuk mengembalikan kedudukan
insitusi Parlimen.
TS Johari (kanan) bersalam perpisahan dengan
DS Dr Junaidi yang akan dilantik sebagai TYT Sarawak
Selain itu, Johari mewakili Parimen Malaysia mengucapkan terima
kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa
Billah Shah atas kebijaksanaan baginda sebagai Ketua Negara negara walaupun
dilanda badai pandemik dan ketidaktentuan politik.
"Pertimbangan baginda yang amat teliti mengemudi bahtera
negara walaupun dilanda badai pandemik dan ketidaktentuan politik,
alhamdulillah, negara kita masih kekal aman makmur di atas izin-Nya.
"Tidak lama lagi, DYMM Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar
akan dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan akan bersemayam selama
lima tahun, berkuat kuasa 31 Januari 2024.
"Umum mengetahui bahawa pendirian Sultan Ibrahim yang tegas
menyuarakan pendapatnya secara terbuka mengenai isu-isu dan dasar-dasar
Kerajaan," tambah kenyataan itu.
Justeru, Johari bersedia menyahut titah baginda mengenai isu-isu
yang dekat dengan hati rakyat dan warga Parlimen Malaysia yang bekerja di
institusi yang bertindak sebagai wadah suara nurani rakyat bekerjasama menggembleng
tenaga meningkatkan prestasi Parlimen.
Hal itu katanya, boleh dilakukan dengan mendemokrasikan Parlimen
dan mendekatkan Parlimen kepada rakyat melalui pelbagai program jangkauan untuk
memberi kefahaman kepada rakyat tentang sistem Parlimen.
*Foto kredit: Parlimen Malaysia