Papagomo didakwa menghasut kait kerajaan pro Israel


 PAPAGOMO BEKAS ANGGOTA POLIS YANG MERASUAH DI PECAT  DARI ANGGOTA POLIS  BEBERAPA TAHUN DULU.


Penulis blog propembangkang, Papagoma atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini kerana mengeluarkan kata-kata menghasut mengaitkan Kerajaan Madani pro kepada Israel dan Barat, tahun lepas.



Wan Muhammad Azri, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.



"Saya mengaku tidak bersalah dan bersedia untuk dibicarakan," katanya lapor Bernama.

Wan Muhammad Azri didakwa menyebut kata-kata menghasut di laman Facebook ‘Halid Hamidi (Halid Mat Kool)’ dan kata-kata itu telah dilihat oleh individu di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada pukul 1 tengah hari, 8 November lalu.



Beliau dituduh mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.



Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan memohon tertuduh dikenakan perintah larangan supaya tidak membuat sebarang ulasan berhubung kes dihadapinya.



Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Wan Muhammad Azri memohon jaminan RM3,000 dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama baik sepanjang siasatan oleh pihak berkuasa.



"Anak guam saya bekerja secara dalam talian selain menanggung isteri yang juga seorang suri rumah serta lima anak masih bersekolah. Pihak kami juga membantah perintah larangan kerana ia merupakan hak kebebasan bersuara anak guam," katanya.



Priscilla Hemamalini membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan tidak meletakkan sebarang syarat tambahan serta menetapkan 5 Februari depan untuk sebutan kes.