PAPAGOMO BEKAS ANGGOTA POLIS YANG MERASUAH DI PECAT DARI ANGGOTA POLIS BEBERAPA TAHUN DULU.
Penulis blog propembangkang, Papagoma atau nama sebenarnya Wan
Muhammad Azri Wan Deris dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini
kerana mengeluarkan kata-kata menghasut mengaitkan Kerajaan Madani pro kepada
Israel dan Barat, tahun lepas.
Wan Muhammad Azri, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan
terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.
"Saya mengaku tidak bersalah dan bersedia untuk
dibicarakan," katanya lapor Bernama.
Wan Muhammad Azri didakwa menyebut kata-kata menghasut di laman
Facebook ‘Halid Hamidi (Halid Mat Kool)’ dan kata-kata itu telah dilihat oleh
individu di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang, Kuala
Lumpur pada pukul 1 tengah hari, 8 November lalu.
Beliau dituduh mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan
boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda
sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit
kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam menawarkan
jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan memohon tertuduh dikenakan
perintah larangan supaya tidak membuat sebarang ulasan berhubung kes
dihadapinya.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Wan Muhammad Azri
memohon jaminan RM3,000 dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama baik
sepanjang siasatan oleh pihak berkuasa.
"Anak guam saya bekerja secara dalam talian selain menanggung
isteri yang juga seorang suri rumah serta lima anak masih bersekolah. Pihak
kami juga membantah perintah larangan kerana ia merupakan hak kebebasan
bersuara anak guam," katanya.
Priscilla Hemamalini membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000
dengan seorang penjamin dan tidak meletakkan sebarang syarat tambahan serta
menetapkan 5 Februari depan untuk sebutan kes.