Oleh: Helmi Mohd Foad
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan akan
memanggil seorang bekas Perdana Menteri dan individu di sekelilingnya berkaitan
kes penggunaan dana kerajaan sebanyak RM700 juta.
Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki memberitahu proses
mengambil percakapan daripada tokoh terbabit akan dibuat pada minggu ini atau
selewat-lewatnya minggu hadapan.
Beliau berkata tindakan itu bagi memastikan bagaimana wang
tersebut dibelanjakan bagi tujuan promosi dan publisiti untuk menghebahkan
pencapaian kerajaan dalam tempoh 2020 hingga 2022.
"Berapa jumlah mereka yang akan dipanggil, biarkan SPRM
melakukannya.
"Buat masa ini, saya fikir hanya seorang bekas pemimpin
negara akan dipanggil dan beberapa orang yang berada di sekelilingnya,"
katanya dipetik.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran
Arahan YAB Perdana Menteri No.1 Tahun 2023 iaitu 'Gerakan Pemantapan Tatakelola
Nasional: Penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional' di Sepang
hari ini.
Azam berkata, perkara utama adalah bagi meneliti bagaimana duit
atau dana kerajaan itu dibelanjakan serta syarikat apa yang menerimanya.
Apabila berlaku sesuatu isu, SPRM mempunyai tanggungjawab untuk
membuat siasatan, katanya.
Sebelum ini laporan media menyebut SPRM telah ke Kementerian
Kewangan (MoF) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi proses siasatan dan
mengumpulkan maklumat serta mendapatkan dokumen berkaitan isu perbelanjaan dana
RM700 bagi tujuan promosi kerajaan.
Siasatan dibuat berdasarkan maklumat awal yang dinyatakan Perdana
Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu, P
Prabakaran pada November tahun lalu.
Prabakaran ketika itu meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah
keseluruhan dibelanjakan kerajaan untuk kerja promosi dan publisiti dalam
menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform media massa termasuk
media cetak, media digital serta televisyen sepanjang tahun sejak 2020 hingga
kini.
Media sebelum ini juga melaporkan Kerajaan Persekutuan
membelanjakan hingga RM700 juta untuk pengiklanan, promosi dan publisiti bagi
menghebahkan agenda kerajaan bagi tempoh 2020 hingga 2022.