Oleh: Helmi Mohd Foad
Datuk
Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua Ketua Setiausaha (KSU) kementerian dan
ketua jabatan agar mengemukakan laporan bulanan mengenai kemajuan dan sumbangan
penjawat awam dalam melaksanakan sesuatu projek kerajaan.
Perdana
Menteri berkata laporan tersebut perlu dihantar kepada Ketua Setiausaha Negara,
Tan Sri Mohd Zuki Ali sebelum ia dimaklumkan kepada beliau.
"Selalu
bila ketua jabatan, KSU dalam perbincangan dengan saya, semua akan cadang minta
peruntukan, tambah projek. Ya memang dibolehkan, tapi ada kaedah baharu yang
kita nak perkenalkan.
"Mesti
ada laporan bulanan apa yang dilakukan, apakah sumbangan saudara-saudara
(penjawat awam) dalam usaha melaksanakan projek dan ini laporan bulanan yang
harus dihantar menerusi KP (ketua pengarah), KSU kepada KSN dan juga untuk
makluman saya supaya ada pendekatan berbeza," katanya pada Majlis
Perjumpaan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Januari 2024 di
Putrajaya hari ini.
Hadir
sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri
Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dan
Mohd Zuki.
Anwar
yang juga Menteri Kewangan berkata setiap kementerian dan agensi perlu
menggunakan pendekatan berbeza dan lebih berani dalam melaksanakan projek.
"Saya
yakin, insya-Allah kerajaan kita stabil. Oleh sebab stabil ini, kita nak guna
sepenuhnya untuk melaksanakan program bagi mengangkat martabat negara
kita," katanya.
Dalam
pada itu, Perdana Menteri menjelaskan pentadbirannya akan meneruskan dasar lama
yang memberikan manfaat kepada semua pihak tetapi perlu kepada perubahan
pendekatan.
Jelasnya
perkara itu seperti kaedah rundingan terus yang tidak lagi akan diamalkan
pentadbirannya.
"Sebab
itu umpamanya, kita tidak meneruskan cara rundingan terus untuk elak kecelaruan
dan salah guna," kata Anwar.