DUA PILIHAN TERSEDIA JIKA ADA MP UMNO MASIH GHAIRAH HENDAK JATUHKAN KERAJAAN

 

Walaupun telah disahkan tiada apa-apa gerakan, mahu pun pertemuan di Dubai untuk menjatuhkan kerajaan sebagaimana dikecoh-kecohkan, sekaligus menolak dakwaan yang dibuat J-Kom, tetapi nampaknya usaha untuk menyingkirkan Anwar Ibrahim daripada kerusi Perdana Menteri tidak pernah terhenti.

Dikhabarkan masih ada bermacam gerakan lain sedang dan akan muncul yang diusahakan untuk menukar kerajaan semasa.

Di waktu yang sama, usaha mengumpul SD atau Akuan Bersumpah menjadi percakapan yang makin meluas kononnya ia telah diusahakan sejak akhir tahun lalu lagi.

Dikatakan usaha tersebut tiada kaitan dengan Langkah Dubai yang semata-mata khayalan itu kerana untuk menjatuhkan kerajaan, apa saja langkah atau gerakan boleh dilakukan, tidak kira di dalam negara atau di luar negara, yang penting ada cukup angka.

Dipercayai kerana berterusannya perkhabaran itulah yang membuatkan Anwar sendiri terpaksa bersuara agar mereka yang ingin menjatuhkannya melakukan perkara itu melalui usul undi tidak percaya di Parlimen.

Katanya, sudah setahun beliau menunggu blok pembangkang melakukannya, tetapi mereka tetap tiada keberanian.

Barangkali berkongsi kebimbangan dengan Anwar, UMNO semalam memberi amaran kepada Ahli-Ahli Parlimennya bahawa adalah suatu kesalahan jika ada di kalangan mereka yang ingin mengambil pendirian berbeza daripada ketetapan parti.

Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, bersekali dengan berkuatkuasanya akta lompat parti, Ahli Parlimen UMNO juga dilarang daripada menongkah arus.

“Ramai yang mungkin tidak menyedari – termasuk penganalisis politik, ahli akademik dan pembangkang – bahawa Perlembagaan UMNO telah pun dipinda dalam Perhimpunan Agung Khas pada 13 Jan 2023 yang menghalang Ahli-Ahli Parlimennya bertindak membelakangi apa jua keputusan parti dan menyertai sebarang pakatan politik untuk menyokong seseorang sebagai Perdana Menteri.

“Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO memperuntukkan keahlian seseorang akan tergugur secara automatik sekiranya ahli yang telah dipilih sebagai Ahli Parlimen dan kemudiannya menyertai suatu pakatan politik yang tidak dianggotai oleh UMNO.

“Ini termasuklah menandatangani perjanjian untuk membentuk pakatan dengan parti lawan sekali gus bertentangan dengan pendirian parti,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Dengan mudah difahami kenyataan Dr Asyraf Wajdi itu adalah ditujukan khas kepada segelintir Ahli Parlimen UMNO yang tidak pro kepada Zahid Hamidi yang dikatakan bila-bila masa boleh bersama dengan suatu pakatan lain untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Ada yang menyebut, jumlah Ahli Parlimen UMNO yang pro kepada blok pembangkang itu berjumlah antara 10 hingga 12 orang.

Maka sekarang, berdasarkan kenyataan Dr Aysraf Wajdi itu, langkah Ahli-Ahli Parlimen UMNO berkenaan telah tersekat dengan sendirinya dan inilah yang membezakannya dengan Bersatu kerana parti itu tiada peruntukan sedemikian dalam perlembagaannya.

Sebab itu, Bersatu tidak boleh bertindak terhadap lima Ahli Parlimennya yang telah mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

Jika mereka bertindak juga menyokong usaha menjatuhkan kerajaan, UMNO boleh bertindak mengisytiharkan mereka telah melanggar perlembagaan parti serta terlucut kedudukan sebagai Ahli Parlimen.

Jadi, apa yang harus dilakukan jika di dalam hati mereka masih bergelodak keghairahan mahu menukar kerajaan?

Secara umumnya ada dua langkah yang boleh mereka lakukan:

Pertama, mereka sendiri secara terbuka mengumumkan sokongan kepada perubahan kerajaan, bail melalui kenyataan media atau SD dan dengan demikian kedudukan sebagai Ahli Parlimen terlucut dengan sendirinya.

Selepas itu, mereka bertandinglah semula atas tiket dan dengan sokongan PN di kawasan yang sama.

Berdasarkan kekuatan sentimen Melayu/Islam dan mereka bertanding semula itu pula untuk tujuan menukar kerajaan, kalau benar rakyat menyokong gerakan berkenaan, mustahil tak boleh menang?

Kedua, bertindak mengambil tindakan mahkamah terhadap UMNO, sama ada berkaitan pemecatan/penggantungan terhadap beberapa pemimpin sebelum ini atau kerana membantah tindakan tersebut.

Apabila seseorang membawa kes ke mahkamah, keahlian mereka secara automatik tergugur, tetapi kedudukan sebagai Ahli Parlimen tidak terjejas.

Mereka seterusnya akan menjadi Ahli Parlimen Bebas yang membolehkan mereka bebas bersama pakatan yang diingini untuk menjatuhkan kerajaan.

Apa macam, mana satu jadi pilihan?

Isu paling besar cuma satu – cukup beranikah Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang tidak pro Zahid Hamidi itu untuk mengambil salah satu tindakan tersebut? – ShahbudinHusin 13/01/2024.