Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin
mendakwa pembangkang sendiri tidak tahu menahu mengenai rancangan Langkah Dubai
yang didakwa akan digunakan bagi mengguling kerajaan.
Beliau berkata, perkara itu adalah fitnah yang
direka dan dimainkan pihak tertentu yang jelas tidak langsung memberi manfaat
kepada rakyat.
“Cerita Langkah Dubai terus berada dalam media
sosial. Siapa yang mulakan? Siapa yang menggelabah? Siapa yang terpaksa buat
laporan polis?
“Siapa yang menjawab bahawa pembangkang tidak
ada cukup sokongan? Siapa pula yang minta pembangkang bawa dalam Parlimen?”
katanya dalam kenyataan di media sosialnya, hari ini.
Laporan mengenai Langkah Dubai bermula pada 30
Disember lalu, apabila BH melaporkan Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi
Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop, dilaporkan
mendakwa Langkah Dubai timbul ketika percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN)
termasuk beberapa wakil parti kerajaan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru
ini.
Beliau mendakwa, pertemuan itu berlangsung
untuk berunding selain menetapkan tugas tertentu kepada ‘pegawai’ yang
dipertanggungjawab untuk mengenal pasti Ahli Parlimen yang berpotensi beralih
sokongan kepada pembangkang dengan sogokan, semata-mata mahu menubuhkan
kerajaan ‘tebuk atap’.
Selain pemimpin PN, beliau dilaporkan mendakwa
ada juga pembabitan tokoh politik veteran berpengaruh berpangkat Tun yang
bersekongkol dengan pembangkang termasuk dikatakan menggunakan ‘sumber asing’
untuk menggulingkan pentadbiran diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim
Hamzah yang juga Setiausaha PN dan BERSATU,
menegaskan kenyataan politik semata-mata tidak boleh menyelesaikan masalah
rakyat dan tuduh-menuduh bukan jalan penyelesaian.
Katanya, berdendam sesama rakan atau saudara
juga bukan penyelesaian, sebaliknya kerajaan perlu menerima hakikat bahawa
mereka juga mempunyai banyak kelemahan dan kepincangan.
“Ketidakcekapan dalam mengurus ini harus
diatasi segera. Ekonomi yang baik boleh membantu. Mencari dan mencipta kekayaan
baru negara juga boleh membantu.
“Kuasa yang ada gunakanlah untuk menyelesaikan
kelembapan ekonomi, bukan menakut-nakutkan pelabur -sama ada pelabur tempatan
mahu pun pelabur luar negara.
“Yakinkan rakyat bahawa kerajaan mampu
mengurus masalah ekonomi, sosial dan keselamatan negara. Yakinkan kepada semua
bahawa kerajaan sedang berusaha untuk semua, tak kira bangsa atau agama,”
katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut, mahu
kerajaan menunjukkan keadilan kepada semua dan amalan demokrasi diteruskan dan
undang-undang janganlah disalah tafsirkan.
“Jangan menakut-nakutkan semua pihak dalam
negara. Jangan cakap lain buat lain. Jangan sampai rakyat meluat dengan segala
janji-janji yang dicanangkan.
“Pembangkang, rakan, penyokong dan sesiapa
saja boleh menjadi sahabat, boleh juga menjadi musuh pada bila-bila masa. Bina
negara ini dengan keikhlasan, keadilan dan kesungguhan. Insya Allah Malaysia
akan berjaya. Demi agama bangsa dan negara,” katanya.
Sumber – https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/01/1199485/langkah-dubai-siapa-yang-mulakan-siapa-yang-gelabah