Zon Ekonomi Khas Johor - Singapura formula persekemakmuran bersama


 

Perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang ditandatangani kedua dua negara kelmarin merupakan persekemakmuran bersama kedua dua negara dan negeri untuk menghasilkan sinergi ekonomi ke tahap yang lebih tinggi.



Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, MOU yang dimeterai tersebut selepas ini akan memandu rundingan di antara Malaysia dan Singapura untuk memperincikan bagaimana sebuah Zon Ekonomi Khas dapat diwujudkan bagi merancakkan ekonomi di Johor dan Singapura.



"Berdasarkan rundingan dipandu oleh MOU ini, Malaysia dan Singapura dijangka akan memuktamadkan satu perjanjian JS-SEZ menjelang akhir tahun ini.



"Saya melontarkan idea JS-SEZ ini Julai yang lepas. Alhamdullillah, ia disambut baik oleh Menteri Besar Johor dan Minister Desmond Lee (rakan sejawat saya dari Singapura) dan dipersetujui menjadi agenda ekonomi penting antara Malaysia dan Singapura," katanya dalam kenyataan.



Menurut Rafizi, Singapura mempunyai banyak kepakaran dalam perdagangan dan perkhidmatan. Negara itu juga memerlukan Johor yang mempunyai potensi tenaga kerja berkemahiran dan muka bumi yang luas untuk perindustrian.



Hal itu, katanya akan menjadi situasi saling lengkap melengkapi antara kedua negara dan negeri.



"Pertama, saling keterhubungan di antara Johor dan Singapura akan membolehkan pergerakan manusia, barang dan perdagangan yang lebih rancak di antara kedua-dua negara.



"Selain tujuan ekonomi, keterhubungan yang lebih licin akan membantu menyelesaikan isu kesesakan di Tambak Johor yang menyebabkan ratusan ribu rakyat Johor terpaksa bangun pagi untuk bekerja di Singapura.



"Saya membayangkan selain dari proses imigresen yang lebih mudah dan infrastruktur pengangkutan yang berkapasiti tinggi, peluang pekerjaan baru yang melibatkan syarikat Singapura dan antarabangsa di Johor akan meredakan tekanan pergerakan manusia ini di masa hadapan, kerana lebih ramai yang akan bekerja di Johor.



"Kita juga berpeluang untuk menarik lebih banyak pelaburan antarabangsa kerana pelabur-pelabur boleh menggunakan kemudahan yang ditawarkan di kedua-dua buah negara untuk membina operasi mereka, tanpa perlu melabur dua kali atau membuka dua syarikat," katanya.



JS-SEZ, kata Rafizi, dijangka akan meningkatkan permintaan kepada tenaga boleh baru (TBB) yang akan mempercepatkan pembinaan kapasiti TBB ke arah peralihan tenaga.



Kapasiti TBB yang ditawarkan oleh Johor dan Malaysia, katanya, akan menjadi daya tarikan utama pelabur antarabangsa untuk ke JS-SEZ dan Malaysia kerana tuntutan undang-undang di negara maju yang berkehendakkan penggunaan TBB.



"Saya tidak rasa saya akan melihat keseluruhan potensi zon ekonomi ini menjadi kenyataan kerana masa yang saya ada adalah terhad.



"Satu hari nanti, saya berdoa masyarakat antarabangsa merujuk mengenai JS-SEZ ini seperti mereka bercakap mengenai Shenzen-Hong Kong sebelum ini. Tetapi kerja untuk merealisasikan visi ekonomi itu bermula dari sekarang.



"Kita ada beberapa bulan untuk membawanya ke tahap yang seterusnya, teruskanlah berbakti untuk negara dan generasi akan datang," kata Rafizi lagi.