Perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang
ditandatangani kedua dua negara kelmarin merupakan persekemakmuran bersama
kedua dua negara dan negeri untuk menghasilkan sinergi ekonomi ke tahap yang
lebih tinggi.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, MOU yang dimeterai tersebut
selepas ini akan memandu rundingan di antara Malaysia dan Singapura untuk
memperincikan bagaimana sebuah Zon Ekonomi Khas dapat diwujudkan bagi
merancakkan ekonomi di Johor dan Singapura.
"Berdasarkan rundingan dipandu oleh MOU ini, Malaysia dan
Singapura dijangka akan memuktamadkan satu perjanjian JS-SEZ menjelang akhir
tahun ini.
"Saya melontarkan idea JS-SEZ ini Julai yang lepas.
Alhamdullillah, ia disambut baik oleh Menteri Besar Johor dan Minister Desmond
Lee (rakan sejawat saya dari Singapura) dan dipersetujui menjadi agenda ekonomi
penting antara Malaysia dan Singapura," katanya dalam kenyataan.
Menurut Rafizi, Singapura mempunyai banyak kepakaran dalam
perdagangan dan perkhidmatan. Negara itu juga memerlukan Johor yang mempunyai
potensi tenaga kerja berkemahiran dan muka bumi yang luas untuk perindustrian.
Hal itu, katanya akan menjadi situasi saling lengkap melengkapi
antara kedua negara dan negeri.
"Pertama, saling keterhubungan di antara Johor dan Singapura
akan membolehkan pergerakan manusia, barang dan perdagangan yang lebih rancak
di antara kedua-dua negara.
"Selain tujuan ekonomi, keterhubungan yang lebih licin akan
membantu menyelesaikan isu kesesakan di Tambak Johor yang menyebabkan ratusan
ribu rakyat Johor terpaksa bangun pagi untuk bekerja di Singapura.
"Saya membayangkan selain dari proses imigresen yang lebih
mudah dan infrastruktur pengangkutan yang berkapasiti tinggi, peluang pekerjaan
baru yang melibatkan syarikat Singapura dan antarabangsa di Johor akan
meredakan tekanan pergerakan manusia ini di masa hadapan, kerana lebih ramai
yang akan bekerja di Johor.
"Kita juga berpeluang untuk menarik lebih banyak pelaburan
antarabangsa kerana pelabur-pelabur boleh menggunakan kemudahan yang ditawarkan
di kedua-dua buah negara untuk membina operasi mereka, tanpa perlu melabur dua
kali atau membuka dua syarikat," katanya.
JS-SEZ, kata Rafizi, dijangka akan meningkatkan permintaan kepada
tenaga boleh baru (TBB) yang akan mempercepatkan pembinaan kapasiti TBB ke arah
peralihan tenaga.
Kapasiti TBB yang ditawarkan oleh Johor dan Malaysia, katanya,
akan menjadi daya tarikan utama pelabur antarabangsa untuk ke JS-SEZ dan
Malaysia kerana tuntutan undang-undang di negara maju yang berkehendakkan
penggunaan TBB.
"Saya tidak rasa saya akan melihat keseluruhan potensi zon
ekonomi ini menjadi kenyataan kerana masa yang saya ada adalah terhad.
"Satu hari nanti, saya berdoa masyarakat antarabangsa merujuk
mengenai JS-SEZ ini seperti mereka bercakap mengenai Shenzen-Hong Kong sebelum
ini. Tetapi kerja untuk merealisasikan visi ekonomi itu bermula dari sekarang.
"Kita ada beberapa bulan untuk membawanya ke tahap yang
seterusnya, teruskanlah berbakti untuk negara dan generasi akan datang,"
kata Rafizi lagi.