Walaupun telah disahkan tiada apa-apa gerakan, mahu pun
pertemuan di Dubai untuk menjatuhkan kerajaan sebagaimana dikecoh-kecohkan,
sekaligus menolak dakwaan yang dibuat J-Kom, tetapi nampaknya usaha untuk
menyingkirkan Anwar Ibrahim daripada kerusi Perdana Menteri tidak pernah
terhenti.
Dikhabarkan masih ada bermacam gerakan lain sedang dan akan
muncul yang diusahakan untuk menukar kerajaan semasa.
Di waktu yang sama, usaha mengumpul SD atau Akuan Bersumpah
menjadi percakapan yang makin meluas kononnya ia telah diusahakan sejak akhir
tahun lalu lagi.
Dikatakan usaha tersebut tiada kaitan dengan Langkah Dubai
yang semata-mata khayalan itu kerana untuk menjatuhkan kerajaan, apa saja
langkah atau gerakan boleh dilakukan, tidak kira di dalam negara atau di luar
negara, yang penting ada cukup angka.
Dipercayai kerana berterusannya perkhabaran itulah yang
membuatkan Anwar sendiri terpaksa bersuara agar mereka yang ingin
menjatuhkannya melakukan perkara itu melalui usul undi tidak percaya di
Parlimen.
Katanya, sudah setahun beliau menunggu blok pembangkang melakukannya,
tetapi mereka tetap tiada keberanian.
Barangkali berkongsi kebimbangan dengan Anwar, UMNO semalam
memberi amaran kepada Ahli-Ahli Parlimennya bahawa adalah suatu kesalahan jika
ada di kalangan mereka yang ingin mengambil pendirian berbeza daripada
ketetapan parti.
Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata,
bersekali dengan berkuatkuasanya akta lompat parti, Ahli Parlimen UMNO juga
dilarang daripada menongkah arus.
“Ramai yang mungkin tidak menyedari – termasuk penganalisis
politik, ahli akademik dan pembangkang – bahawa Perlembagaan UMNO telah pun
dipinda dalam Perhimpunan Agung Khas pada 13 Jan 2023 yang menghalang Ahli-Ahli
Parlimennya bertindak membelakangi apa jua keputusan parti dan menyertai
sebarang pakatan politik untuk menyokong seseorang sebagai Perdana Menteri.
“Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO memperuntukkan keahlian
seseorang akan tergugur secara automatik sekiranya ahli yang telah dipilih
sebagai Ahli Parlimen dan kemudiannya menyertai suatu pakatan politik yang
tidak dianggotai oleh UMNO.
“Ini termasuklah menandatangani perjanjian untuk membentuk
pakatan dengan parti lawan sekali gus bertentangan dengan pendirian parti,”
kata beliau dalam satu kenyataan.
Dengan mudah difahami kenyataan Dr Asyraf Wajdi itu adalah
ditujukan khas kepada segelintir Ahli Parlimen UMNO yang tidak pro kepada Zahid
Hamidi yang dikatakan bila-bila masa boleh bersama dengan suatu pakatan lain
untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.
Ada yang menyebut, jumlah Ahli Parlimen UMNO yang pro kepada
blok pembangkang itu berjumlah antara 10 hingga 12 orang.
Maka sekarang, berdasarkan kenyataan Dr Aysraf Wajdi itu,
langkah Ahli-Ahli Parlimen UMNO berkenaan telah tersekat dengan sendirinya dan
inilah yang membezakannya dengan Bersatu kerana parti itu tiada peruntukan
sedemikian dalam perlembagaannya.
Sebab itu, Bersatu tidak boleh bertindak terhadap lima Ahli
Parlimennya yang telah mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.
Jika mereka bertindak juga menyokong usaha menjatuhkan
kerajaan, UMNO boleh bertindak mengisytiharkan mereka telah melanggar
perlembagaan parti serta terlucut kedudukan sebagai Ahli Parlimen.
Jadi, apa yang harus dilakukan jika di dalam hati mereka
masih bergelodak keghairahan mahu menukar kerajaan?
Secara umumnya ada dua langkah yang boleh mereka lakukan:
Pertama, mereka sendiri secara terbuka mengumumkan sokongan
kepada perubahan kerajaan, bail melalui kenyataan media atau SD dan dengan
demikian kedudukan sebagai Ahli Parlimen terlucut dengan sendirinya.
Selepas itu, mereka bertandinglah semula atas tiket dan
dengan sokongan PN di kawasan yang sama.
Berdasarkan kekuatan sentimen Melayu/Islam dan mereka
bertanding semula itu pula untuk tujuan menukar kerajaan, kalau benar rakyat
menyokong gerakan berkenaan, mustahil tak boleh menang?
Kedua, bertindak mengambil tindakan mahkamah terhadap UMNO,
sama ada berkaitan pemecatan/penggantungan terhadap beberapa pemimpin sebelum
ini atau kerana membantah tindakan tersebut.
Apabila seseorang membawa kes ke mahkamah, keahlian mereka
secara automatik tergugur, tetapi kedudukan sebagai Ahli Parlimen tidak
terjejas.
Mereka seterusnya akan menjadi Ahli Parlimen Bebas yang
membolehkan mereka bebas bersama pakatan yang diingini untuk menjatuhkan
kerajaan.
Apa macam, mana satu jadi pilihan?
Isu paling besar cuma satu – cukup beranikah Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang tidak pro Zahid Hamidi itu untuk mengambil salah satu tindakan tersebut? – ShahbudinHusin 13/01/2024.