ERTINYA SELAGI ZAHID HAMIDI ADA, USAH MIMPILAH PAS NAK BEKERJASAMA SEMULA DENGAN UMNO



Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pemimpin PAS sebagai ‘gila talak’ apabila masih menyuarakan hasrat untuk kembali bekerjasama dengan UMNO menerusi platform Perikatan Nasional (PN).


Justeru, beliau menggesa PAS berhenti bermimpi di siang hari, selain menasihati parti Islam itu berdoa supaya berhenti ‘menipu’ UMNO sekali lagi.


“Setakat ini tiada khabar angin sampai kepada UMNO, mungkin ada pihak telah kegilaan talak sebab mereka pernah ada dalam kerajaan dahulu.


“Alangkah sakitnya apabila ada jumlah kerusi yang banyak tetapi berada di pihak pembangkang.


“Jadi saya berharap mereka terus berdoa untuk tidak melakukan ‘kekencingan’ (menipu) sekali lagi kepada UMNO, menyebabkan UMNO tidak langsung membuka jalan itu (jalin kerjasama semula) setakat ini.


“Setakat ini Allah tak buka lagi hati untuk melakukan kerjasama dengan mereka.


“Kami minta mimpi siang mereka itu dapat dinoktahkan,” katanya.


Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri memberi penegasan demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man yang tidak menolak kemungkinan partinya bekerjasama semula dengan UMNO di sebalik sejarah ‘pahit’ kedua-dua parti sebelum ini.


Ertinya, berdasarkan kenyataan Zahid Hamidi itu, UMNO tidak ingin dan tidak mungkin membuka ruang untuk bekerjasama semula dengan Pas, setidak-tidaknya selagi beliau masih memimpin parti Melayu itu.


Hanya jika berlaku pertukaran kepimpinan UMNO, barulah barangkali ada kemungkinan perkara itu boleh berlaku.


Tetapi, siapa yang boleh kalahkan Zahid Hamidi daripada menerajui UMNO?


Dengan itu, usahlah ada pemimpin Pas bermimpi lagi dan kalau boleh, elakkan juga tidur di siang hari agar tidak terus bermimpi perkara-perkara yang jauh daripada realiti. – ShahbudinHusin 06/12/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/12/06/mudah-cerita-selagi-zahid-hamidi-ada-pas-usah-mimpilah-nak-bekerjasama-semula-dengan-umno.html



No comments: