BERKUBUR PRU 16: MAHATHIR BIMBANG UMNO MAKIN KUAT BERSAMA PH

 



Telahan bekas Perdana Menteri (PM) Tun Mahathir Mohamad kononnya parti terbesar orang Melayu, UMNO akan berkubur pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16 susulan kalah teruk pada Pilihan Raya Kecil Kemaman merupakan pendapat songsang.

Bagi Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam, sebaliknya Mahathir melakukan provokasi sebegitu kerana menyedari UMNO akan menjadi lebih kuat bersama Pakatan Harapan (PH).

“Kita kena tahu apa kebimbangan Tun. Kalau dia rasa, kalau UMNO terus menerus bersama PH UMNO akan terkubur, adakah dia akan memberikan nasihat yang baik kepada UMNO supaya mengukuhkan kedudukan dengan tinggalkan PH?

“Mahathir hari ini mahu UMNO mati. Inilah usaha yang dilakukan sejak anak dia ‘si boboy’ tidak menjadi Naib Presiden UMNO. Ini yang dilakukan semenjak kroni kroni dia, terutama 4 syarikat Penjana Tenaga Bebas gagal untuk mendapat projek perbekalan elektrik. Inilah sebenarnya Tun M.

“Dia tahu kalau UMNO teruskan hubungan dengan PH (akan lebih baik). UMNO hari ini parti orang Melayu terbesar. PH pula parti yang berjaya menarik sokongan 97% pengundi bukan Melayu. Ramuan ini adalah malapetaka kepada Mahathir dan sekutunya.

“Itu sebab dia bimbang kita teruskan hubungan dengan kawan kawan PH,” kata Lokman dalam siaran langsung Facebook, malam tadi.

Katanya, pihak pembangkang cuba menakut nakutkan orang Melayu dengan mengingatkan perkara yang dilakukan DAP ketika dalam kerajaan bersama Mahathir (2018 – 2020).

Namun menurut Lokman, hal itu tidak lagi terjadi kerana DAP telah belajar daripada kesilapan lalu dan kini memiliki pemimpin yang lebih bertolak ansur.

“DAP belajar dari kesilapan mereka. Takkan mereka nak ulangi kesilapan dan lukakan hati orang Melayu, akhirnya menyebabkan mereka menjadi pembangkang.

“Pasti pemimpin DAP tak buat demikian. Sekarang mereka diterajui kepimpinan baru YB Anthony Loke yang jauh lebih berkompromi daripada pimpinan lama.

“Kalau Melayu takut dengan DAP yang bersama dengan Pas (Pakatan Rakyat), tetapi Mahathir takut DAP bersama UMNO kerana bila bersama UMNO mereka berbeza berbanding bersama Mahathir dan Pas. Ini yang Mahathir takut,” katanya.

Situasi yang ideal, jelas Lokman, ialah memberikan peluang sehingga 4 tahun PM Datuk Seri Anwar Ibrahim memerintah dan beliau pasti Kerajaan Perpaduan akan lebih diterima oleh rakyat.

“Kalau kita boleh yakinkan Melayu dan bukan Melayu solid dengan kita, InshaAllah kita menang besar PRU 16.

“Mahathir tahu dia bapa perpecahan Melayu. Dia racik racik Melayu sehingga UMNO tidak boleh menang sekiranya bersendirian. UMNO hanya memang dan hanya stabil sekiranya bekerjasama dengan parti yang mendapat sokongan bukan Melayu,” katanya lagi.



No comments: