KERAJAAN GUBAL DASAR PASTIKAN MALAYSIA TERUS JADI TARIKAN PELABUR

 



Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan pentadbirannya mementingkan penggubalan dasar yang jelas dan bersepadu.

Melalui satu kenyataan, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah itu bagi menarik dan mengekalkan para pelabur di negara ini sekaligus menjamin masa depan rakyat dan negara.

Sehubungan itu jelasnya, penting untuk pendekatan libat urus bersama-sama industri diterapkan agar dasar dan inisiatif yang diwujudkan selari dengan keperluan semasa dan akan datang.

“Adalah penting bagi kerajaan menggubal dasar serta kebijakan yang jelas dan bersepadu bagi menarik dan mengekalkan pelabur-pelabur di Malaysia.

“Juga perlu diterapkan pendekatan libat urus bersama-sama industri agar dasar dan inisiatif yang diwujudkan adalah selari dengan keperluan semasa dan akan datang,” katanya.

Kenyataan itu menyusul selepas Anwar menerima kunjungan hormat Naib Presiden Dasar Global Persatuan Industri Semikonduktor (SIA), Mary Thornton dan delegasi di pejabatnya.

Mengulas pertemuan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan ahli-ahli SIA telah mengambil kesempatan memaklumkan kepada saya mengenai perancangan industri serta cadangan-cadangan dalam memperkukuh tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan asing terutamanya pada peringkat rantaian yang bernilai tinggi.

“Saya terangkan pendekatan penting Kerajaan yang menggalakkan sektor swasta menerajui pusat-pusat kemahiran sebagai langkah mengatasi isu ketidaksepadanan tenaga kerja baharu dengan keperluan industri.

“Kami sependapat bahawa ekosistem perusahaan kecil dan sederhana yang menyumbang kepada rantaian pengeluaran syarikat-syarikat utama dunia perlu sentiasa diberi penekanan dan sokongan,” katanya.

Sebagai rekod, SIA menjadi suara industri semikonduktor Amerika Syarikat selama lebih empat dekad manakala ahli dan anggota SIA telah mewakili lebih daripada 99 peratus industri semikonduktor Amerika Syarikat (AS) dari segi pendapatan dan hampir dua pertiga daripada firma cip bukan AS



No comments: