SEKARANG LEBIH BAIK PN UMUM SAJA SOKONGAN ‘EN BLOC’ KEPADA ANWAR


Seorang lagi Ahli Parlimen PN memgumumkan sokongannya kepada kepimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.


Kali ini giliran Ahli Parlimen Gua Musang daripada Bersatu, Mohd Azizi Abu Naim yang berbuat demikian.


Bermakna sekarang sudah tiga Ahli Parlimen PN mengalih sokongan mereka di mana sebelum ini, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan) lebih dulu menyatakan sokongan mereka kepada Anwar.


Sama seperti dua rakannya, Mohd Azizi juga memberi alasan keputusannya ini adalah untuk memastikan kebajikan penduduk di Gua Musang sentiasa terbela dan terus mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur sehingga tempoh penggal perkhidmatannya berakhir pada tahun 2027 akan datang.


Ertinya, yang dimahukan melalui tindakan mengalih sokongan ini ialah beliau akan memperolehi peruntukan kewangan sebagai Ahli Parlimen daripada dana kerajaan.


Sebagaimana ditulis sebelum ini, masalah peruntukan ini bukan cerita dongeng di kalangan Ahli-Ahli Parlimen BN dan mereka sebenarnya amat berharap kepadanya bagi memastikan khidmat kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan berkesan.


Sebab itu, adalah dijangka ada beberapa lagi Ahli Parlimen, terutamanya daripada Bersatu yang akan turut mengalih sokongan mereka selepas ini.


Dalam hal ini, tindakan Bersatu menggantung keahlian Iskandar Dzulkarnain selama empat tahun dan Suhaimi selama enam tahun, langsung tidak memberi kesan yang menakutkan kepada Ahli Parlimen yang lain.


Selepas ini Mohd Azizi dipercayai akan turut digantung keahliannya, tetapi percayalah, akan ada lagi Ahli Parlimen Bersatu lain yang akan mengalihkan sokongan mereka.


Lama-kelamaan nanti, letih begitu saja Bersatu melakukan tindakan gantung seorang demi seorang, namun sokongan yang sedia dimiliki tetap juga hilang.


Akhirnya, keadaan itu tentu saja menyebabkan parti Bersatu dan PN semakin hilang sokongan dan tidak lagi diyakini rakyat.


Bersatu dan PN memang tidak ada banyak pilihan di hadapan dan mungkin tidak mampu langsung menghalang pengaliran keluar itu daripada terus berlaku.


Tambahan pula PN sudah disedari tiada harapan lagi untuk menebuk atap dan menjatuhkan kerajaan pimpinan Anwar ini sehinggalah tibanya PRU16 akan datang.


Untuk menangani keadaan ini daripada terus berlaku, satu-satunya pilihan yang tinggal dan terbaik ialah PN harus segera mengumumkan sokongan secara terbuka dan “en bloc” kepada kerajaan dan Anwar.


Dengan demikian, tidak akan berlaku lagi pengaliran keluar sokongan secara pintu belakang oleh Ahli-Ahli Parlimen kepada Anwar, bahkan semua Ahli Parlimen PN turut beroleh peruntukan untuk kawasan masing-masing.


Dalam masa yang sama, Lembaga Disiplin Bersatu atau PN juga tidak perlu lagi kerap bermesyuarat untuk menggantung seorang demi satu wakil rakyatnya yang sudah beralih arah.


Tidakkah ini dapat mengelakkan pembaziran tenaga dan masa serta berupaya pula menjelmakan keharmonian dalam politik negara?


Nak jatuhkan kerajaan…tunggu saja PRU16 akan datang dan ketika itu “berperanglah” habis-habisan. – ShahbudinHusin 08/11/2023.


https://shahbudindotcom.net/2023/11/08/sekarang-lebih-baiklah-pn-umum-saja-sokongan-en-bloc-kepada-anwar.html



1 comment:

Anonymous said...

Satu penyepak bagi yg fitnah dsai…