Projek pembangunan: Unit Kerjasama Awam Swasta akan diteliti


 Oleh: Abdullah Zaid



Kementerian Ekonomi bercadang untuk meneliti projek yang dicadang melalui kerjasama bersama pihak swasta supaya segala yang dirancang dapat memberi manfaat ekonomi kepada negara.



Menterinya, Rafizi Ramli (PH-Pandan) berkata berdasarkan rekod lepas, usaha tersebut dibuat bagi mengelakan sebarang bentuk risiko kewangan yang terpaksa ditanggung kerajaan.



Justeru katanya, usaha itu akan melibatkan kerjasama dengan kementerian yang berkaitan termasuk Kementerian Ekonomi.



"Sebarang projek yang bersabit di bawah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) akan dipertimbangkan di peringkat khas kemudian dibawa ke kementerian terbabit termasuk Ekonomi bagi sebarang Kerjasama Awam Swasta (PPP).



"Jadi peranan ekonomi untuk memastikan apa-apa yang dicadangkan PPP dan juga peruntukan benar-benar nilai terbaik kepada rakyat dan dibawa ke kabinet untuk diluluskan.



"Buat masa sekarang, kerajaan sedang mengubal dan menyelaraskan supaya kita kaji balik pendekatan PPP kerana sebahagian besar warisan tanggungan PPP yang lepas terpaksa ditanggung oleh kerajaan," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.



Rafizi berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai langkah kerajaan dalam kerjasama awam swasta memandangkan UKAS memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara.



Bagaimanapun terdapat projek tertentu yang menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung liabiliti kerana projek yang kurang berdaya maju.

 

No comments: