FAHAMI KONSEP MADANI MELALUI KARAMATUL INSAN





Konsep negara atau masyarakat Madani tidak akan dapat difahami dengan mendalam tanpa rakyat mengetahui konsep Karamatul Insan (kemuliaan insan) terlebih dahulu.

Menurut Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Dr Mohammad Nur Manuty, konsep Karamatul Insan perlu diajarkan di sekolah yang dengan pemahaman tersebut rakyat pelbagai agama akan lebih menyanjung Islam serta penganutnya di negara ini.

Beliau berkata demikian ketika mengupas intisari Madani yang digagaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam beberapa buku yang ditulis oleh Presiden KEADILAN itu.

“Yang ditekankan Anwar dalam bukunya ialah Karamatul Insan. Saya nak tekankan kalau rakyat Malaysia dapat memahami Karamatul Insan, saya, sahabat kita Orang Asli, sahabat dari Sabah dan Sarawak yang banyak suku kaum (akan lebih mudah menghormati semasa manusia).

“Meskipun satu tragedi telah berlaku kerana saya dapati pelajar di sekolah rendah dan menengah tidak pernah didedahkan dengan ayat Karamatul Insan, walhal dia duduk di Malaysia (yang majmuk).

“Ini sangat penting kerana Rasul SAW bersabda, ‘manusia itu adalah tersusun serapi rapinya seperti gigi sikat.’

“IKIM pun (dalam hal ini) kena banyak buat kerja di pelbagai peringkat. Buktinya dari 1,000 orang bukan Islam yang ditemuramah di Lembah Kelang ini 90% tidak memberi apresiasi kepada agama Islam, ‘kami tak faham agama Islam’,” katanya dalam forum anjuran Sekretariat Malaysia Madani Rakyat (SEMARAK) kelolaan Persatuan Rapat Rakyat (RAPAT) di Kuala Lumpur, petang tadi.

Dr Mohammad Nur yang juga mantan Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia itu seterusnya mengkisahkan sejarah perjuangan Anwar dalam aspirasi Madani yang diingati beliau sejak mula mengenali tokoh berjiwa besar itu.

Katanya, sejak Anwar menuntut di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) beliau telah membina gagasan membela orang miskin di kawasan Kuala Kangsar, terutamanya di Bukit Candan dengan menziarahi keluarga miskin.

Begitu juga ketika Anwar menuntut di Universiti Malaya pada 1970an dan aktif dalam Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, beliau mewujudkan kempen gerak kesedaran atau GKK.

Sewaktu menjawat Presiden ABIM, Anwar buat pertama kali sebagai pemimpin persatuan Islam ketika itu berbicara mengenai masyarakat majmuk sehingga mendapat penghargaan dari bukan Islam, khususnya DAP yang berdialog bersama beliau kerana dianggap pemuka Islam moderat di Malaysia.

Anwar juga, kata Dr Mohammad Nur ketika menjadi menteri kerajaan BN berjasa menubuhkan bank Islam, universiti Islam, maktab perguruan Islam dan program tasawur Islam dalam kurikulum sekolah menengah. Sehinggalah beliau dipecat dari UMNO dan melaksanakan gerakan reformasi total dalam KEADILAN yang mengutamakan Karamatul Insan bagi muslim dan non muslim.

Karamatul Insan, tegas Dr Mohammad Nur, berbeza daripada perjuangan Pas misalnya yang amat mengutamakan hal hal penganut Islam tanpa banyak mengambil kira sosio-politik bukan Islam, terutama dalam isu hukum hudud dan beberapa perkara lain.

“Soal hudud dengan Pas kita berbeza. Dari awal lagi saudara Anwar telah berunding di peringkat antarabangsa. Kita diberitahu bukan keutamaan kita hudud dalam konteks masyarakat Malaysia. Ulama besar pun telah berdebat. (Sebelum laksana hudud) perlu persediaan seperti mengurangkan kemiskinan, menyediakan tempat tinggal nyaman, sistem pendidikan baik, air bersih, kemudahan elektrik dan ini sebahagian tuntutan Islam,” katanya.

Dalam pada itu, mantan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Perak itu juga menyematkan pesan agar peserta yang terdiri daripada para reformis berkenaan agar bekerja keras mendukung PM supaya konsep Madani berakar umbi dalam budaya rakyat Malaysia dengan mengusahakan Anwar memerintah buat penggal kedua.

“Tiada ada makna jika PM beri banyak goodies tetapi kalau sikap tidak berubah (bagi majoriti orang Melayu). Termasuk ketaksuban agama yang melulu dan ketidak cerdikan akal di Parlimen. Rakyat menyokong parti yang berlawanan dengan yang berkuasa hari ini, sudah tentu berbilion bajet Madani ini akan hangus begitu sahaja.

“Datang PM yang baru dengan gagasan baru. Kita mendoakan mudah mudahan Datuk Seri Anwar bukan sekadar 5 tahun ini tetapi banyak yang mengatakan kepada saya, termasuk di luar negara mereka nak tengok Datuk Seri Anwar memerintah 10 tahun di Malaysia,” katanya disambut tepukan bergemuruh.



 

No comments: