Jamzuri Ardani
Bernas jual beras import kepada pemborong dengan harga sekitar RM32 setiap 10kg. Sampai kepada pembeli setelah dikira kos dan keuntungan harganya sekitar RM43.
Untuk beras tempatan, harga dari kilang kepada pemborong sekitar RM23 utk setiap 10kg.
Jika kita mahu bekalan beras tempatan dijual di kedai-kedai runcit di seluruh negara, maka harga yang sepatutnya ialah sekitar RM33 untuk setiap pek 10kg.
Jika tidak, peniaga tidak akan jual beras tempatan kerana tiada keuntungan untuk mereka, maka kesannya amat buruk untuk industri padi tempatan.
Mungkin ada orang tanya, ke mana perginya beras tempatan?
Ada beberapa kemungkinan.
Ramai peniaga restoran dan kedai makan yang sanggup beli beras tempatan dengan harga yang lebih mahal dari yang ditetapkan. Jika mereka beli beras import harganya RM43, lebih baik mereka tempah beras tempatan dengan pemborong terus dengan harga RM30. Pemborong pun suka sebab kalau jual pada peruncit, harganya hanya RM25.40 sahaja.
Kemana bakinya? Ada yang dijual kepada pengilang untuk hasilkan tepung beras, bihun, nasi impit, dan seumpamanya.
Oleh kerana harga beras tempatan di negara kita jauh lebih murah berbanding negara jiran, maka kemungkinan banyak juga yang diseludup keluar. Di negara jiran, harga beras pek 10kg sekitar RM45-RM50. Jika ada yang seludup beras 1 tan ke negara jiran dan dijual dengan harga RM36, sudah boleh untung RM1,000 untuk setiap satu tan beras.
Tidak dinafikan ada juga yang mencampurkan beras tempatan ke dalam pek beras import untuk mendapat keuntungan yang lebih.
Jadi, apa yang kerajaan buat? Mungkin ada yang bertanya.
Turun naik harga barang di pasaran antarabangsa tidak ada kerajaan di dunia yang boleh kawal. Apa yang kita boleh buat ialah tingkatkan keupayaan industri tempatan, tingkatkan produktiviti dan daya saing penghasilan padi tempatan, apungkan harga supaya industri ini boleh bersaing, dan bantu rakyat dengan subsidi bersasar secara pemberian tunai kepada kelompok yang layak.