Sirul Azhar boleh kemukan rayuan, semak hukuman mandatori




 Oleh: Abdullah Zaid


Bekas anggota Unit Tindakan Khas, Sirul Azhar Umar yang disabit hukuman mati bagi kesalahan membunuh Altantuya Shaariibuu lebih sedekad lalu boleh membuat semakan rayuan berhubung keputusan tersebut di mahkamah.


Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sekiranya sabitan hukuman mati tersebut berubah mengikut budi bicara hakim, barulah proses ekstradisi melibatkan Australia boleh dilakukan.


Jelasnya, langkah itu boleh dipertimbangkan memandangkan negara baru sahaja menguatkuasakan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.


"Kita tidak lagi melaksanakan hukuman mati mandatori iaitu kita beri kuasa kepada budi bicara mahkamah atau hakim.


"Justeru dia (Sirul Azhar) boleh saja kemukakan untuk ruang ini. Jika itu semua telah dibuat, barulah proses ekstradisi kalau rayuannya berakhir dengan adanya perubahan dari segi hukuman (terhadap Sirul Azhar)," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.


Pada 2009 lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini menjatuhkan hukuman mati terhadap Sirul Azhar dan Cif Inspektor Azilah Hadri, selepas mendapati mereka bersalah atas pertuduhan membunuh Altantuya.


Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar dan membebaskan mereka daripada pertuduhan berkenaan.


Bagaimanapun, pada 13 Jan 2015, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan membebaskan Sirul Azhar dan Azilah dan mengekalkan hukuman mati yang diputuskan Mahkamah Tinggi terhadap mereka.


Sirul Azhar tidak hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan kes itu kerana berada di Australia. Susulan itu Mahkamah Persekutuan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.


Dia kemudiannya ditahan pegawai imigresen Australia selepas Interpol mengeluarkan notis merah dan ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney.


Pada 11 November lalu, dilaporkan Sirul Azhar telah dibebaskan dari Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney, Australia


Pembebasan Sirul Azhar susulan keputusan Mahkamah Tinggi negara itu pada 8 Nov, yang memutuskan bahawa tahanan bukan warga negara yang tidak dapat dihantar pulang, tidak boleh lagi ditahan selama-lamanya oleh pihak imigresen.

No comments: