Fadhlina kecewa Minggu Solidariti Palestin dipolitikkan
Minggu Solidariti Palestin anjuran Kementerian Pendidikan telah
menjadi polimik kerana dipolitikkan dan dikacau ganggu 'orang luar' tegas
Menteri Pendidikan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada penggulungan perbahasan
Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat pada Khamis mengecam
pihak yang mengkritik penganjuran program itu.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) hanya menyahut seruan
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung pendirian kerajaan untuk turut sama
mempertahankan hak dan kebebasan rakyat Palestin selain mahu mendidik
kanak-kanak tentang nilai keamanan sejagat.
Dengan nada sebak, beliau menggesa semua Ahli Parlimen memahami
perkara itu dan memberi ruang agar KPM melaksanakan tanggungjawabnya dan
mengutamakan proses pendidikan kemanusiaan melalui program tersebut.
"Beri ruang kepada kami untuk laksanakan tanggungjawab
kami...Jangan kacau dan usik guru kami. Di sebelah sana atau sini, sama!
"Beri ruang untuk proses pendidikan ini. Faham yang penting
untuk mendidik (murid) tentang kemanusiaan," katanya sambil menegaskan
program tersebut bukan mahu menunjukkan pihak mana yang paling hebat dalam isu
Palestin.
Sebelum ini, tular video berkaitan program di sebuah sekolah yang
didakwa memaparkan unsur ekstremisme bagi menyuarakan sokongan kepada rakyat
Palestin.
Video 55 saat itu menunjukkan seorang lelaki mengacukan senapang
mainan ke arah pelajar sambil mengetuai sekumpulan guru mengibarkan bendera
Palestin ketika perhimpunan.
Susulan itu pada 31 Okt lalu, KPM mengeluarkan arahan melarang
penggunaan senjata dan unsur politik bagi penganjuran Minggu Solidariti
Palestin di sekolah.
Sementara itu, Fadhlina ketika menghadiri Minggu Solidariti Palestin
di sebuah sekolah di Kuala Lumpur berkata, komuniti pendidikan jelas dengan
garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk program itu.
Beliau turut menegaskan tidak timbul sebarang isu di kalangan guru
dan pentadbir sekolah berkenaan garis panduan yang dikeluarkan KPM, termasuk
untuk tidak menyatakan perspektif satu pihak sahaja.