'Seluruh dunia sokong Palestin, kesombongan Israel akan tamat'


 Kesombongan rejim Israel menindas rakyat Palestin tidak mungkin dapat diteruskan setelah dunia menyaksikan kekejaman mereka mengebom penduduk awam sehingga menyebabkan lebih 5,000 korban di Semenanjung Gaza pada waktu ini.


Menurut Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu, kekejaman terbaharu Israel dengan alasan memburu pejuang Hamas telah membuka mata bukan sahaja rakyat negara Islam malah negara Eropah turut menyokong Palestin dan mula mengecam keganasan Zionis.


"Cukup. Kamu jadi mustakbirin. Sekarang rakyat di seluruh dunia bangun menyokong perjuangan rakyat Palestin. Sekarang hanya tinggal Amerika Syarikat dan Britain yang menyokong Israel.


"Negara Eropah lain, NGO di negara Eropah, non muslim, mereka bangun membela rakyat Palestin.


"Kita InshaAllah, dengan kebangkitan muktahir ini, kita yakin Israel akan lenyap tidak lama lagi.


"Hak rakyat Palestin kembali ke tanah air mereka," kata Mohamad dalam Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi.

Israel wajar dikenakan sekatan ekonomi

Tegas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu, Israel yang berfahaman Zionis tidak langsung mempeduli atau menghormati mana mana agama.


Hal itu terbukti apabila wartawan beragama Kristian media al Jazera ditembak, gereja diludah, apatah lagi orang Islam yang beribadah di Masjid al Aqsa.


Sebelum itu, Mohamad mengimbau sejarah Yahudi yang diberi negara oleh penjajah British pada 1947, merupakan kumpulan pengganas Yahudi yang membunuh dan mengusir rakyat Palestin sebelumnya.


Israel diiktiraf Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu pada 1948 tetapi mereka tidak berpuas hati dengan sempadan negara yang kecil dan melancarkan beberapa peperangan untuk merampas tanah rakyat Palestin.


"Mereka membunuh sehingga berlaku peristiwa Nakba, berpuluh ribu rakyat Palestin dihalau.


"Adakah Israel puas? Tidak. Dikejar rakyat Palestin, dibunuh di kem Shabra dan Shatila di Lubnan (luar sempadan Israel). Adakah Israel puas hati? Tidak.


"Mereka mengepung pusat perlindungan pusat PBB di Lubnan. Yang mati kanak kanak, wanita, orang tua.


"Setelah perjanjian wujudkan 2 negara (Perjanjian Oslo 1993), mereka terus membuka (kawasan) rumah baharu sebanyak 700,000 di sebelah Tebing Barat (untuk pendatang Yahudi dari Eropah Timur ditanah yang dirampas).


"Mereka terus membekalkan senjata kepada peneroka tanah yang mereka rampas dari penduduk Palestin," katanya lagi.

No comments: