MENANG DI PELANGAI JADIKAN TIGA PRK BERJAYA DIMENANGI CALON KERAJAAN PERPADUAN


Sebagaimana dijangka, calon BN yang mewakili kerajaan perpaduan, Amizar Abu Adam berjaya memenangi PRK Dun Pelangai dengan majoriti 2,949 undi.


Amizar memperolehi 7,324 undi berbanding calon PN, Kassim Samat yang mendapat 4,375 undi, manakala calon bebas, Haslihelmy DM Zulhasli sekadar mampu beroleh 47 undi.


Meskipun majoriti kemenangan BN adalah lebih kecil berbanding PRU15 lalu iaitu 4,048 undi, namun perolehan undi BN jelas lebih tinggi lagi.


Pada PRU15 lalu, calon BN, Allahyarham Johari memenangi Dun Pelangai dengan meraih 7,308 undi, sementara kali ini, calon BN, Amizar berjaya memperolehi 7,324 undi.


Pun begitu, walau PN tewas, jumlah undi mereka adalah meningkat sebanyak 1,115 undi berbanding PRU15 lalu.


Pada PRU15 lalu, Kassim memperolehi 3,260 undi, tetapi kali ini undinya berjumlah 4,375 undi.


Apa yang membanggakan di sebalik kemenangan BN ini ialah berlakunya peralihan undi yang ketara daripada PH kepada BN di peti undi Manchis, Sungai Gapoi, Telemong dan Sungai Perdak yang merupakan kawasan majoriti pengundi bukan Melayu.


Ini secara langsung memberi gambaran, meskipun berlaku peralihan pengundi Melayu kepada PN di kawasan Felda, namun pengundi bukan Melayu jelas menerima dengan baik pembentukan kerajaan perpaduan dan tiada masalah memberi sokongan kepada calon BN.


Dalam hal ini, DAP khususnya terbukti telah berperanan dengan baik sekali.


Dengan kemenangan BN di Pelangai ini, bermakna ketiga-tiga PRK yang diadakan setakat ini berjaya dimenangi semunaya oleh calon yang mewakili kerajaan perpaduan.


Sebelum ini, calon Amanah yang mewakili PH berjaya memenangi PRK Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram di Johor.


Pada PRN enam negeri sebelumnya pula, gabungan PH/BN berjaya mempertahankan tiga negeri – Selangor, Pulau Pinang serta Negeri Sembilan dan cita-cita PN untuk mencari kemenangan di salah satu negeri itu tidak menemui kejayaan.


PN sekadar berjaya mempertahankan tiga negeri tadbirannya saja iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.


Secara kasarnya, meskipun banyak lagi penambahbaikan, penerangan dan pemahaman perlu dilakukan berkenaan kerajaan perpaduan ini, ia ternampak punya masa depan yang cerah untuk terus dipertahankan dalam PRU akan datang.


Ini kerana imej kerajaan perpaduan adalah gambaran yang mewakili wajah Malaysia yang sebenar yang aman dan harmoni berasaskan semua kaum yang ada di dalamnya.


Selagi keharmonian tersebut dapat dipertahankan, negara ini lebih berpotensi untuk terus maju ke hadapan seiring dengan kemajuan zaman. – ShahbudinHusin 07/10/2023.


https://shahbudindotcom.net/



No comments: