Meskipun baru balik daripada mengikuti rombongan Perdana Menteri dalam lawatan ke UNGA di New York dan kemudian membuat posting atau hantaran di media sosial yang mempertahankan Anwar Ibrahim daripada kritikan pembangkang, ia bukanlah lesen untuk Ahli MT UMNO merangkap Speaker Dun Johor, Dr Puad Zarkashi untuk berlebih-lebih boleh melakukan “troll” atau “menganjing” menteri PKR yang tidak disukainya.
Dalam “troll” dan “menganjing” terbaru yang dilakukannya pagi tadi, di sebalik desas-desus Anwar akan melakukan rombakan kabinet, Puad menyarankan agar Rafizi Ramli dipindahkan daripada Menteri Ekonomi kepada Menteri Pelancongan.
Katanya, Rafizi sebagai Menteri Ekonomi gagal mengemukakan formula yang luar biasa, melainkan sekadar cadangan biasa iaitu masak dan makan di rumah.
Tambah beliau, mungkin Rafizi berjaya mengemukakan formula pelancongan yang berkesan selepas dipindahkan nanti, seterusnya tidak mustahil mampu tampil sebagai Menteri Pelancongan yang terbaik.
Siapa pun yang membaca hantaran Puad di media sosialnya itu dapat menilai ia adalah “troll” atau untuk “menganjing” Rafizi semata-mata.
Kepada Puad yang mengatakan Rafizi gagal sebagai Menteri Ekonomi, lalu “menganjing” wajar ditukarkan ke Kementerian Pelancongan, elok beliau menyelak terlebih dahulu hantaran-hantaran di laman sosial Timbalan Presiden PKR itu sejak beliau berada di dalam kabinet.
Semua usaha, idea, perancangan dan apa yang dilakukannya untuk memulihkan ekonomi dan membantu rakyat sentiasa dimuatkannya dalam laman sosialnya untuk pengetahuan semua.
Jika seseorang itu mengikuti apa yang Rafizi lakukan selama ini, mereka pasti tahu beliau adalah menteri yang kuat bekerja.
Idea beliau, misanya masak di rumah lebih menjimatkan daripada melayan ketagihan makan di luar adalah sesuatu yang benar, cuma masih ramai enggan menerima atau melihat kebaikannya.
Tetapi itu bukanlah bermakna formula ekonomi yang dilontarkannya tidak menjadi atau tidak berkesan sama sekali, lagi pun semuanya memerlukan masa.
Di samping itu, ketika Rafizi berdebat dengan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman, beliau turut menerima limpahan pujian atas idea dan kemampuannya.
Dalam hal debat itu, sudah tentu Puad sendiri tidak mampu berdebat sebaik atau selancar Rafizi.
Malah, tidak keterlaluan kalau dikatakan Puad juga tidak mungkin berani untuk berdebat dengan Syahir, Ahli Parlimen muda Pas itu.
Selain itu, dengan mencadangkan agar Rafizi dijadikan Menteri Pelancongan, apakah Puad bermaksud Menteri Pelancongan sedia ada, Tiong King Sing yang juga Ahli Parlimen Bintulu daripada GPS sebagai menteri yang gagal?
Apa yang Puad mahu – beliau ingin Tiong ditukar ke kementerian lain atau digugurkan terus?
Paling penting untuk diingatkan kepada Puad sebelum mahu menganjing menteri-menteri bukan daripada UMNO dalam kerajaan perpaduan atau rakan sendiri, sedarlah dulu kedudukan dan kekuatan UMNO itu sendiri ketika ini.
Kita ini kalau nak menganjing orang lain, cermin diri dan parti sendiri terlebih dahulu.
Jika kita benar-benar kuat, bolehlah diterima, tapi kalau kita pun lebih ditolak rakyat, bahkan nak menang di Pelangai 7 Oktober depan ini pun masih mencungap-cungap, baiklah belajar untuk berhati-hati.
Lagi pula, tidak semua menteri UMNO menunjukkan prestasi yang baik dalam tugas mereka sejak 10 bulan lalu.
Kenapa tidak Puad bersuara mencadangkan kepada Perdana Menteri agar menteri-menteri UMNO yang tidak berprestasi baik itu dipindah atau digugurkan?
Terlebih penting untuk Puad sedar sebelum beliau terus bertambah seronok melakukan “troll” atau “menganjing” menteri lain pula selepas ini, terutama daripada PKR/PH, ingatlah bahawa isu DNAA Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi masih merupakan beban yang terpaksa ditanggung oleh Anwar dan kerajaan perpaduan, entah-entah sehingga ke PRU16 akan datang.
Kenapa tak nak “troll”dan “menganjing” Zahid Hamidi dalam hal tersebut? – ShahbudinHusin 29/09/2023.
https://shahbudindotcom.net/