TUKAR MB,TMB KELANTAN SEHARI SEBELUM PENGUNDIAN TUNJUK PAS CUAK DAN TERDESAK


Sehari sebelum hari pengundian esok, Pas hari ini mengumumkan pertukaran Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan sekiranya parti itu terus mendapat mandat daripada rakyat.


Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hasan ketika mengumumkan perkara itu berkata, sebagai ganti kepada pemegang jawatan sedia ada, pihaknya alan mengemukakan seorang tokoh agamawan dan seorang tokoh teknokrat sebagai peneraju baru Kelantan, tertakluk kepada mandat rakyat dan perkenan Sultan Kelantan.


Takiyuddin juga berkata, kenyataannya ini dibuat adalah atas arahan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang selepas mesyuarat yang berlangsung di Rusila, Terengganu, semalam.


Ini bermakna, sekarang ini, Ahmad Yaakob dan Mohd Amar Nik Abdullah bukan lagi calon Menteri Besar serta Timbalan Menteri Besar Kelantan selepas 12 Ogos ini dan kedua-duanya kini sudah boleh mengemas bilik pejabat masing-masing.


Bagaimanapun, bagi Terengganu dan Kedah, Takiyuddin memaklumkan, Ahmad Shamsuri Mokhtar dan Sanusi Md Nor akan dikekalkan sebagai Menteri Besar jika Pas terus diberi mandat di kedua-dua negeri berkenaan.


Kenapa tiba-tiba Pas mengumumkan pertukaran Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan?


Mengapa Terengganu dan Kedah tidak terlibat dengan sebarang pertukaran?


Tidak lain langkah ini diambil Pas ialah untuk menahan angin perubahan di negeri itu daripada terus mengencang menjelang hari pengundian esok.


Bukanlah rahsia lagi gandingan kepimpinan kedua-dua peneraju negeri itu selama ini dilihat gagal membawa sebarang pembaharuan, terutama dalam menyelesaikan masalah air yang sudah berlarutan sejak sekian lama.


Sementara Ahmad Yaakob dilihat terlalu pasif dan tidak proaktif, Mohd Amar pula dikatakan terlalu agresif sehingga banyak musuh timbul kerana percaturannya.


Dipercayai pertukaran Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan ini juga ada kaitan dengan pemilihan calon-calon di negeri itu yang dikatakan tidak mematuhi sepenuhnya kehendak kepimpinan Pas di peringkat pusat dan menimbulkan keresahan di peringkat akar umbi.


Dalam masa yang sama, pertukaran ini turut membuktikan Pas sudah mulai cuak dan terdesak untuk terus mentadbir Kelantan sehingga “korban” terpaksa dilakukan sehari sebelum pengundian.


Berjayakah angin perubahan di Kelantan dikekang melalui pengumuman Takiyuddin ini?


Atau angin perubahan menjadi lebih kencang kerana mengumumkan pertukaran Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar di saat-saat akhir dengan sendirinya membuktikan rungutan rakyat tentang kegagalan dua peneraju teratas itu selama ini adalah benar dan sahih?


Untuk menyelesaikan pelbagai masalah di Kelantan yang gagal ditangani sejak 33 tahun lalu, apakah ia boleh diselesaikan dengan menukar calon Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar semata-mata?


Atau parti yang memerintah Kelantan yang sebenarnya perlu ditukar?


Kepada pengundi-pengundi Kelantan, fikir dan buatlah keputusan dengan bijaksana demi masa depan di peti-peti undi pada esok hari. – ShahbudinHusin 11/08/2023.


https://shahbudindotcom.net/



No comments: