Bolehkah Kerajaan Perpaduan Tumbang Kerana PRN? SIRI 2

 

4. Calon Perdana Menteri



Siapakah tokoh yang akan ditampilkan sebagai calon Perdana Menteri oleh pihak pembangkang jika Anwar Ibrahim dijatuhkan? Seorang calon Perdana Menteri mestilah seorang Ahli Dewan Rakyat, ketua sebuah gabungan parti-parti politik dan tidak terhalang oleh sebarang kes jenayah dan sebagainya.



Pada masa ini, hanya Muhyiddin Yassin sahaja yang dianggap mempunyai kaliber untuk ditonjolkan sebagai Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional. Namun begitu, kelayakannya dari sudut moral adalah dipersoalkan kerana beliau telah tergolong dalam kluster mahkamah.



Rekod Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8 adalah jauh dari memberangsangkan sehingga memberikan UMNO cukup alasan untuk menjatuhkannya selepas hanya 17 bulan. Selain itu, hubungannya dengan Istana juga bermasalah akibat pengisytiharan darurat yang penuh kontroversi dan sikap negatifnya terhadap idea Kerajaan Perpaduan oleh Yang Dipertuan Agong.



Abdul Hadi Awang pula membawa imej dan jalur pemikiran yang sukar diterima oleh masyarakat bukan Islam. Adalah mustahil parti-parti Borneo akan bersetuju untuk menerima seorang Perdana Menteri daripada Pas. Tun Mahathir yang sudah berusia hampir satu abad pula gagal untuk menjadi seorang Ahli Dewan Rakyat pada PRU yang lalu.



Hamzah Zainudin yang merupakan seorang operator politik yang cekap adalah diragui kaliber dan kemampuannya untuk menjadi pemimpin nombor satu negara. Tanpa adanya seorang pemimpin yang kuat di sebelah sana, tidak ada mana-mana blok parti politik yang akan sanggup memperjudikan nasib dengan meninggalkan Kerajaan Perpaduan.



Kerajaan Perpaduan akan tetap bertahan



Sebagai kesimpulan, sama ada keputusan PRN nanti memihak kepada Gabungan Perpaduan ataupun PN, Kerajaan Perpaduan dijangka akan tetap bertahan sehingga PRU-16. Sebelum memikirkan bagaimana untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan, PN sepatutnya memikirkan bagaimana ia dapat mengatasi fenomena ‘feel good’ yang dibawa oleh seorang Perdana Menteri baharu.



Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi kesemuanya telah menang besar dalam PRU pertama yang mereka hadapi selepas menjadi Perdana Menteri. Najib Razak juga telah menang dalam PRU-13 walaupun kemenangannya agak tipis. Ini kerana pengundi-pengundi menaruh harapan yang tinggi kepada seorang Perdana Menteri yang baharu dan ingin memberi masa kepadanya untuk menjalankan tugas.



Dalam keadaan sekarang, rakyat kebanyakannya sudah serik untuk melihat Perdana Menteri Malaysia bertukar buat kali kelima dalam masa lima tahun. Kira-kira 66 tahun yang lalu, para penggubal Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan tempoh lima tahun sebagai jangkamasa maksimum bagi satu penggal pemerintahan.



Hal ini kerana jangkamasa empat atau lima tahun dianggap sebagai tempoh yang optimum bagi sesuatu kerajaan untuk memperkenal dan melaksanakan dasar-dasarnya dengan berkesan. Ketagihan untuk menukar kerajaan melalui pintu belakang setiap satu atau dua tahun sekali adalah satu penyimpangan daripada kebijaksanaan Perlembagaan yang akhirnya akan memudaratkan negara dan rakyat.



________________________________________________________________________________

Dr. Madhi Hasan ialah Felo di Institut Kajian Pilihan Raya dan Pemajuan Demokrasi (IESAD), Universiti Selangor