DUN Lunas, Cikgu Shamsul tidak gentar saingan lima penjuru

 




Oleh: Abdullah Zaid



DUN Lunas, Kedah mempunyai sejarah tersendiri kepada Pakatan Harapan (PH), khususnya KEADILAN kerana Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pernah bertanding dan menang di sana dalam Pilihan Raya Kecil tahun 2000. Kemudian kerusi Lunas silih berganti di antara KEADILAN dan BN.



Pada kali ini KEADILAN meletakkan Shamsul Anuar Abdullah atau lebih dikenali Cikgu Shamsul untuk menggalas cabaran di situ.



Cikgu Shamsul ketika ditemui Suara Keadilan optimis terus mempertahankan kerusi tersebut biar pun menghadapi cabaran 5 penjuru kali ini



Menurut beliau, sepanjang tempoh 13 hari berkempen rata-rata masyarakat dan jentera memberi respons yang positif kepadanya, sekali gus memberi kelebihan buat beliau mengekalkan kerusi.



"Pemerhatian saya secara menyeluruh, penerimaan pengundi sangat baik tidak kira pengundi Melayu, Cina dan India.



"Dari segi jangkaan penerimaan pengundi Melayu, saya menjangkakan 30 peratus sokongan setakat ini.



"Ia dilihat memberi kelebihan besar kerana kita hanya perlukan sekitar 20 peratus (pengundi Melayu) sahaja untuk kita peroleh kemenangan," katanya.



Jelasnya, peningkatan sokongan tersebut hasil daripada pembabitannya selaku Penyelaras DUN Lunas selepas penyandangnya Azman Nasruddin bertindak menyertai PN pada 2020.



"Sejak Cikgu Azman (Azman Nasruddin) tinggalkan kerusi (menyertai Bersatu) saya dilantik sebagai Penyelaras. Jadi banyak program yang telah dijalankan bagi menyantuni penduduk Lunas terutamanya anak muda.



"Berbekalkan pengalaman yang ada ini, ia amat membantu kempen kita," ujarnya.



Terdahulu, pada PRU14 DUN Lunas dimenangi Azman mewakili Pakatan Harapan dengan memperolehi undi sebanyak 23,904 dan majoriti 13,813 menewaskan dua calon daripada Pas dan BN.



Namun, beliau bertindak meninggalkan parti dan menyertai PN pada 5 September 2020.



Bagi PRN Kedah, DUN Lunas menyaksikan pertandingan tertinggi iaitu lima penjuru, membabitkan Cikgu Shamsul (PH) dan Khairul Anuar Ramli dari PN.



Manakala, tiga calon Bebas lain ialah Rajenderan a/l Nadarajan, Arichindarem a/l Sinappayen dan Pannirselvam a/l Suppiah.

 

No comments: