4. Calon Perdana Menteri
Siapakah tokoh yang akan ditampilkan sebagai calon Perdana Menteri
oleh pihak pembangkang jika Anwar Ibrahim dijatuhkan? Seorang calon Perdana
Menteri mestilah seorang Ahli Dewan Rakyat, ketua sebuah gabungan parti-parti
politik dan tidak terhalang oleh sebarang kes jenayah dan sebagainya.
Pada masa ini, hanya Muhyiddin Yassin sahaja yang dianggap
mempunyai kaliber untuk ditonjolkan sebagai Perdana Menteri daripada Perikatan
Nasional. Namun begitu, kelayakannya dari sudut moral adalah dipersoalkan
kerana beliau telah tergolong dalam kluster mahkamah.
Rekod Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8 adalah jauh
dari memberangsangkan sehingga memberikan UMNO cukup alasan untuk
menjatuhkannya selepas hanya 17 bulan. Selain itu, hubungannya dengan Istana
juga bermasalah akibat pengisytiharan darurat yang penuh kontroversi dan sikap
negatifnya terhadap idea Kerajaan Perpaduan oleh Yang Dipertuan Agong.
Abdul Hadi Awang pula membawa imej dan jalur pemikiran yang sukar
diterima oleh masyarakat bukan Islam. Adalah mustahil parti-parti Borneo akan
bersetuju untuk menerima seorang Perdana Menteri daripada Pas. Tun Mahathir
yang sudah berusia hampir satu abad pula gagal untuk menjadi seorang Ahli Dewan
Rakyat pada PRU yang lalu.
Hamzah Zainudin yang merupakan seorang operator politik yang cekap
adalah diragui kaliber dan kemampuannya untuk menjadi pemimpin nombor satu
negara. Tanpa adanya seorang pemimpin yang kuat di sebelah sana, tidak ada
mana-mana blok parti politik yang akan sanggup memperjudikan nasib dengan
meninggalkan Kerajaan Perpaduan.
Kerajaan Perpaduan akan tetap bertahan
Sebagai kesimpulan, sama ada keputusan PRN nanti memihak kepada
Gabungan Perpaduan ataupun PN, Kerajaan Perpaduan dijangka akan tetap bertahan
sehingga PRU-16. Sebelum memikirkan bagaimana untuk menumbangkan Kerajaan
Perpaduan, PN sepatutnya memikirkan bagaimana ia dapat mengatasi fenomena ‘feel
good’ yang dibawa oleh seorang Perdana Menteri baharu.
Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir
Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi kesemuanya telah menang besar dalam PRU
pertama yang mereka hadapi selepas menjadi Perdana Menteri. Najib Razak juga
telah menang dalam PRU-13 walaupun kemenangannya agak tipis. Ini kerana
pengundi-pengundi menaruh harapan yang tinggi kepada seorang Perdana Menteri
yang baharu dan ingin memberi masa kepadanya untuk menjalankan tugas.
Dalam keadaan sekarang, rakyat kebanyakannya sudah serik untuk
melihat Perdana Menteri Malaysia bertukar buat kali kelima dalam masa lima
tahun. Kira-kira 66 tahun yang lalu, para penggubal Perlembagaan Persekutuan
telah meletakkan tempoh lima tahun sebagai jangkamasa maksimum bagi satu
penggal pemerintahan.
Hal ini kerana jangkamasa empat atau lima tahun dianggap sebagai
tempoh yang optimum bagi sesuatu kerajaan untuk memperkenal dan melaksanakan
dasar-dasarnya dengan berkesan. Ketagihan untuk menukar kerajaan melalui pintu
belakang setiap satu atau dua tahun sekali adalah satu penyimpangan daripada
kebijaksanaan Perlembagaan yang akhirnya akan memudaratkan negara dan rakyat.
________________________________________________________________________________
Dr. Madhi Hasan ialah Felo di Institut Kajian Pilihan Raya dan
Pemajuan Demokrasi (IESAD), Universiti Selangor