Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berusaha memastikan projek tanaman beras SMART SBB Mini Sekinchan MADA-BERNAS dapat dilaksanakan secara berskala besar.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, selain itu kerajaan
juga akan berusaha memperluas projek itu ke seluruh negara sebagai langkah
memastikan bekalan beras di negara ini mencukupi.
Mengulas mengenai kemungkinan berlaku gangguan import susulan keputusan
India menghentikan pengeksportan beras, beliau menjelaskan, negara tidak
berdepan kesan besar dari keputusan itu namun sentiasa perlu bersedia dengan
menghasilkan lebih banyak beras tempatan.
"India sudah umumkan akan henti eksport beras mereka. Pakistan,
Veitnam dan Thailand juga kata begitu sekiranya cuaca terus tidak menentu tahun
depan.. kita perlu bersedia.
"Kita bawa teknologi baru (tanaman padi) bermula di
Sekinchan, Selangor. Kita bawa ke Perlis, Terengganu dan Pahang. Bagi projek di
Arau (Perlis) yang akan dituai bulan Ogos, jika mampu capai 10 tan beras, kita
akan perluaskan," katanya dipetik.
Mohamed berkata begitu selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan
Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) ke-38 di Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata langkah itu bukan sahaja
meningkatkan keterjaminan bekalan beras di Malaysia, malah ia mampu
mengurangkan kebergantungan kepada beras import dan membantu negara mencapai
tahap sara diri (SSL) dalam pengeluaran beras.
"Selain itu, langkah tersebut juga mampu membantu
meningkatkan pendapatan pesawah tempatan," tambahnya.
Minggu lalu, Mohammad berkata Malaysia perlu bersedia untuk
mencapai tahap sara diri (SSL) dalam pengeluaran beras.
Bercakap pada satu program di Alor Setar, beliau berkata tempoh
enam tahun akan datang menjadi tempoh kritikal untuk negara mencapai matlamat
itu berikutan risiko negara pengeksport mengurangkan atau menghentikan eksport
makanan ruji berkenaan bagi melindungi permintaan domestik masing-masing.
Bagi tujuan itu jelasnya, Kerajaan bercadang memperuntukkan RM3
bilion bagi menambah baik infrastruktur di bawah MADA (Lembaga Kemajuan
Pertanian Muda) bagi memperluaskan tanaman padi lima musim dalam dua tahun.