PEGAWAI MINTA RASUAH-

 



KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Ting King Sing berkata, beliau dimaklumkan terdapat pegawai Imigresen meminta wang daripada pelancong asing yang ditahan sebagai syarat untuk dilepaskan.

Ahli Parlimen Bintulu itu mendedahkan bahawa bayaran yang dipinta sehingga RM3,000  termasuk tiket penerbangan pulang ke negara asal dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, tambahan RM3,000 pula diminta jika warga asing berkenaan mahu pulang ke negara asal dengan kadar segera menerusi ‘laluan khas’, manakala RM12,000 pula untuk kos memproses visa.

“Semua maklumat ini akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya siasatan dapat dijalankan seterusnya dapat memulihkan imej Malaysia terutamanya di pintu mask negara,” katanya dalam kenyataan.hari ini.

King Sing berkata demikian dalam reaksi terhadap berita yang tular mendakwa beliau menceroboh masuk Balai Ketibaan Antarabangsa di KLIA dan cuba menyelamatkan seorang pelawat wanita warga China yang ditahan Imigresen.

Mengulas dalam perkara yang sama, Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak itu juga menyatakan kekecewaannya kerana gambarnya semasa insiden itu telah ditularkan oleh pihak dalaman agensi berkaitan di KLIA.

Sambil mempersoalkan niat pihak berkenaan sehingga menularkan gambarnya dengan persepsi tidak tepat dan berita yang berunsur fitnah, beliau juga menekankan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) harus campur tangan dan bertindak dalam perkara tersebut.

Katanya, SKMM perlu menyiasat secara teliti bagi mengetahui pegawai dalaman yang menularkan serta fitnah berhubung gambar-gambar beliau serta maklumat yang ditularkan mengenai insiden tersebut.

“Walaupun niat mereka tidak diketahui, maka berkemungkinan mereka terkejut dengan penyertaan SPRM dan bimbang bahawa “sumber pendapatan” mereka akan terputus atau terancam.

“Saya tidak menolak kemungkinan bahawa mereka ingin melindungi rakan-rakannya dengan sengaja membocorkan maklumat, membuat tuduhan tapa asas dan menyebarkan laporan palsu.

“Selain merujuk kes ini kepada SPRM untuk siasatan mendalam, dalam masa sama saya akan membangkitkan perkara ini ke Kabinet termasuk cadangan memansuhkan ejen yang mengendalikan pelancong asing yang ditolak kemasukan (NTL-Not To Land) kerana dilihat semakin kronik dengan isu ketidaktelusan serta penyalahgunaan kuasa yang memburukkan imej negara di mata dunia,” ujarnya lagi.

King Sing juga menegaskan bahawa kerajaan sepatutnya membatalkan pihak ketiga dalam menguruskan tiket penerbangan bagi tahanan Imigresen di Malaysia dipulangkan ke tanah air.

Dalam perkara berkenaan, beliau mencadangkan agar masalah ini boleh ditangani oleh syarikat penerbangan yang menawarkan perkhidmatan.

Pada masa yang sama, bagi mengelak kejadian negatif seumpama berulang lagi beliau menyeru orang ramai agar menyemak terlebih dahulu kesahihan sesuatu berita sebelum disebarkan.

“Saya yakin kita dapat membersikan segala ketirisan yang mencemarkan imej negara sekiranya kita semua berganding bahu,” kata King Sing lagi. – MalaysiaGazette

 

No comments: