Syed Saddiq perlu isytihar harta sebelum minta MB, Exco Johor isytihar


 Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman digesa mengisytiharkan hartanya sebelum meminta barisan Exco dan Menteri Besar Johor mengisytiharkan harta atau perniagaan mereka.


Gesaan itu dibuat oleh Ketua Cabang KEADILAN Muar, Naim Jusri.


Menurut Naim, ketelusan harus ditunjukkan oleh kedua belah pihak, bukan hanya pada pihak Kerajaan Perpaduan sahaja.


"Kami berpendapat ketelusan dan integriti seharusnya bukan hanya dituntut daripada sebelah pihak, tetapi termasuk YB Syed Saddiq sendiri yang wajib untuk isytihar harta selaku wakil rakyat yang pernah menjawat jawatan eksekutif sebagai Menteri Belia dan Sukan (KBS).


"Dalam semangat ketelusan dan tatakelola yang baik, kami menyeru Syed Saddiq untuk mengisytiharkan terlebih dahulu aset beliau, termasuk tunai yang disimpan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Perisytiharan harta oleh calon Invoke menjelang pilihanraya menjamin ketelusan

Pengarah Pilihanraya Negeri KEADILAN Johor itu mencadangkan Syed Saddiq mengisytiharkan hartanya pada 2017 iaitu sebelum dilantik Ahli Parlimen dan Menteri KBS.

Juga tahun 2020 selepas dilantik Ahli Parlimen dan Menteri KBS serta jumlah terkini pada 2023.


"Kami percaya bahawa tindakan ini akan membuktikan komitmen beliau terhadap prinsip yang beliau suarakan dan perjuangkan sebagaimana disebut Kempimpinan Melalui Teladan," katanya.


Di satu sisi, pada pihak KEADILAN pula, kata Naim, ketelusan sentiasa diutamakan dan calon daripada parti itu telah pun mengisytiharkan harta.


"Parti KEADILAN akan terus bersama memperjuangkan pengisytiharan harta secara terbuka, seperti yang telah dimulakan dalam sejarah politik tanahair pada tahun 2018 bersama Invoke dan Pakatan Harapan," katanya lagi.

No comments: