MANA SATU BETUL – KOMPAUN DIBAYAR ATAU KOMPAUN DIBATALKAN?


 ISU kompaun yang dikenakan terhadap seorang peniaga wanita bukan Islam berpakaian kurang sopan di Kelantan telah selesai dan ia tidak sepatutnya dipanjangkan oleh mana-mana pihak, kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming hari ini.

Beliau berkata ini kerana kompaun berkenaan telah dibatalkan selepas satu sesi perbincangan diadakan antara Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB).


“Isu ini telahpun selesai dan saya harap kejadian sedemikian tidak akan berulang. Kita perlu menghormati Islam dan bukan Islam juga perlu dibela, itu semua dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan sesi lawatan kerja sekitar kawasan Fair Park di sini, hari ini.

Nga turut berkata bahawa tidak timbul isu campur tangan Kerajaan Persekutuan dalam urusan pentadiran kerajaan tempatan seperti didakwa sesetengah pihak.

“Saya cuma ingatkan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT), apabila kita menguatkuasakan undang-undang, jangan terlalu ghairah. Sebaliknya, kita harus memahami intipati dan semangat Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beritanya di sini – https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/450306

Pada 26 Jun lalu, seorang wanita bukan Islam dikompaun kerana berpakaian tidak sopan dengan berseluar pendek di tempat awam.

Sementara itu, pada 27 Jun lalu, bapa angkat kepada wanita bukan Islam yang dikompaun Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) kerana memakai seluar pendek berkata, beliau sudah membayar kompaun yang dikenakan itu.

“Saya sudah bayar kompaun yang dikenakan MPKB terhadap anak saya dan saya mohon isu ini tidak dipolitikkan,” kata See Yeap Seng, 51, ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya perkara itu sudah selesai dan dia membayar kompaun bernilai RM50 pagi tadi.

“Saya tidak mahu perbesarkan isu ini memandangkan saya sendiri sudah mendapat penjelasan dengan MPKB sendiri,” katanya lagi.

Laporannya di sini – https://m.malaysiakini.com/news/670151


Persoalannya di sini, yang mana satu betul – kompaun telah dibayar atau dibatalkan?

Adakah kompaun dibatalkan meskipun bayaran sudah dibuat oleh bapa angkat wanita berkenaan?

Jika demikian, apa kata kerajaan negeri Pas Kelantan dalam hal ini? – ShahbudinHusin 01/07/2023.



No comments: