Sokong gesaan PM beri elaun pelajar latihan industri oleh PM - Pemuda Amanah

 

Gesaan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya syarikat tempatan mempertimbangkan pemberian elaun kepada pelajar latihan industri wajar disokong oleh semua pihak bagi memastikan beban kewangan yang dihadapi golongan pelajar dapat dikurangkan.


Menurut Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Razak Ridzuan, dengan mengambil kira tenaga dan sumbangan yang diberikan oleh pelajar latihan industri kepada syarikat, peruntukan elaun yang munasabah kepada pelajar-pelajar berkenaan dikira wajar selain sebagai saguhati kepada mereka dalam menampung kos perjalanan dan tempat tinggal sepanjang menjalani latihan.


"Pemberian elaun ini sudah tentunya memberi motivasi kepada pelajar dalam proses belajar dan menjalani latihan di syarikat tersebut.


"Seperti kita semua maklum, terdapat juga situasi di mana terdapat pelajar yang menjalani latihan industri dengan begitu komited menyamai kualiti pekerja terlatih dan ini semestinya memberi nilai tambah kepada syarikat terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.


Sehubungan itu, katanya, Pemuda AMANAH menyatakan sokongan penuh kepada saranan PM yang sememangnya dinanti-nantikan oleh ramai pelajar latihan industri di negara ini.

 

No comments: