KISAH LEBAI TAK SEDAR DIRI



 Ini kisah lebai tak sedar diri. Lebai Edi nama diberi. Hidup miskin tidak terperi. Tetapi malas cari rezeki. Cuma nak melepak di kedai kopi. Terabai langsung anak isteri.

 

Bukan tak pernah lebai diingatkan. Tanggungjawab jangan diabaikan. Kena beri pakai dan makan. Tapi lebai tak mahu layan. Ingat syurga neraka, lebai beri amaran.

 

Tapi si lebai tak sedar diri. Walaupun miskin nafsu gergasi. Isteri yang ada pun nafkah tak diberi. Ada niat nak beristeri lagi. Nak membereng orang kaya punya isteri.

 

Tiap hari lebai memujuk. Dah macam iblis si lebai merasuk. Isteri si kaya lebai pujuk, mintalah cerai, jangan dirujuk. Ikutlah lebai, jalan ke syurga lebai nak tunjuk.

 

Si lebai jenis tak faham bahasa. Wanita itu mewah hidupnya. Suaminya dah berikan dia segala. Makan pakai cukup adanya. Malah berlebihan, tak perlu diminta. Ikut lebai dapatnya apa? Gila!

 

Lebai masih tak puas hati. Terus memujuk lagi dan lagi. Difitnah si kaya tak henti-henti. Reka cerita itu dan ini. Agar suaminya si wanita benci. Kepada si lebai, terjatuh hati 

 

Namun isteri si kaya bijak orangnya. Takkan mahu dia hidup derita. Segalanya jelas hadapan matanya, lebai itu bagaimana orangnya. Cerita hebat hasilnya tiada.

 

Jadilah si lebai sang gila bayang. Sering meroyan, bercakap seorang. Dakwa kepadanya si wanita kan datang. Tinggalkan suaminya si kaya itu seorang. 

 

Begitulah perangai si lebai jahanam. Berjiwa iblis,  bertopengkan Islam. Nampak baik tapi hati hitam. Isteri orang pun nak digodam. Isteri sendiri dibuat pekasam.

 

Ini seloka, bukan mengata. Cuma nak ingatkan saja. Dah ada yang baik, eloklah dijaga. Usah terpedaya yang bertopengkan agama. Tapi, siapa kunyah cili, terasalah dia akan pedasnya.

 

Islam itu sempurna. Hak manusia perkara utama. Akhirat nanti akan ditanya, tanggungjawab masa di dunia. Lebai bukan tiket ke syurga. Kalau amanah tidak dijaga, neraka jualah tempat akhirnya.

 

Ada orang berjubah labuh. Duduknya di masjid dari subuh ke subuh. Tapi imannya lusuh, hatinya jahat tak bisa diasuh. Jenis begini kita tolaklah jauh jauh. Guane boh?

 

 

Raja Gelap 

 

.

 


No comments: