Kerajaan memberi perhatian serius terhadap isu elaun untuk
mahasiswa yang menjalani latihan industri atau 'intern'.
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata memandangkan 'intern'
tidak boleh dianggap sebagai buruh percuma, kerajaan berpandangan keluhan
disuarakan golongan itu wajar diberi perhatian sewajarnya.
"Bagi saya, perkara ini perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan, perkara ini juga telah dibangkitkan dalam International Labour Conference supaya ia diberi pertimbangan sewajarnya di seluruh dunia.
"Intern ini tidak boleh dianggap buruh percuma, kita akan
meneliti perkara ini dan saya akan beri maklum balas dalam masa terdekat,"
katanya dipetik.
Sivakumar sebelumnya diminta mengulas laporan mengenai seorang
pelajar universiti awam yang meluahkan kebimbangannya untuk bertahan sepanjang
menjalani latihan praktikal pada Oktober ini.
Pelajar wanita itu memaklumkan terdapat latihan industri
menawarkan elaun dengan jumlah yang kecil malah ada yang tidak memberi elaun
langsung.
Pelajar jurusan pengajian antarabangsa dan strategik itu juga
dilaporkan menyuarakan bantahannya dengan membawa sepanduk tertera “intern
bukan buruh percuma” di sekitar kampusnya.
Dalam pada itu, Sivakumar turut memberitahu pihaknya akan
memberikan maklum balas yang sewajarnya dalam tempoh terdekat dan secara
prinsipnya beliau bersetuju dengan pandangan mahasiswa tersebut.