Kedudukan Hakim Nazlan Ghazali yang dipertikaikan selama ini
berikutan keputusannya menjatuhkan hukuman terhadap Najib Razak, terjawab sudah
akhirnya.
Dalam jawapan di Dewan Negara, Anwar Ibrahim berkata, Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menemui sebarang unsur kesalahan
jenayah dalam siasatannya terhadap Hakim Nazlan itu.
Perdana Menteri memberitahu Dewan Negara SPRM melakukan siasatan
menyeluruh terhadap dakwaan Nazlan mempunyai konflik kepentingan ketika
mempengerusikan perbicaraan kes SRC International membabitkan bekas perdana
menteri Najib Razak.
“SPRM mendapati tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan,”
“Perkara ini telah diluluskan
oleh Jabatan Peguam Negara (AGC),” kata beliau.
Tambah Anwar,
dakwaan Nazlan melanggar Kod Etika Hakim juga juga bukan satu isu kerana
Mahkamah Persekutuan sudah membuat keputusan mengenai perkara itu.
Sebelum ini dalam
satu surat kepada peguam Najib pada Mac lalu, Menteri Undang-undang dan
Reformasi Institusi Azalina Othman Said berkata, SPRM merumuskan bahawa hakim
itu melanggar Kod Etika Hakim dan ada konflik kepentingan ketika
mempengerusikan perbicaraan kes SRC.
Katanya, ini
berdasarkan laporan penemuan SPRM bertarikh 20 Feb, yang dipanjangkan kepada
beliau oleh agensi itu.
Pada 24 Feb,
Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa siasatan SPRM terhadap Nazlan dilakukan
tanpa mengikut protokol.
Ketua Hakim Negara
Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan sidang tujuh hakim berkata demikian
dalam saman tiga peguam untuk mencabar siasatan SPRM terhadap hakim Mahkamah
Rayuan itu, berhubung dakwaan RM1 juta yang tidak dapat dijelaskan dalam
akaunnya.
Pada 28 Julai 2020, Nazlan mensabitkan
kesalahan Najib atas tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram, dan pecah
amanah jenayah lebih RM42 juta dalam akaun bekas perdana menteri itu.
Dia dijatuhi
hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Rayuannya kepada
Mahkamah Rayuan ditolak pada 8 Dis 2021.
Najib memulakan
hukuman penjara pada 23 Ogos tahun lepas, sejurus selepas Mahkamah Persekutuan
mengekalkan sabitan dan hukuman asal.
Berita penuhnya di sini – https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/06/19/kes-hakim-nazlan-siasatan-sprm-tak-jumpa-unsur-jenayah-kata-pm/
Dengan jawapan ini, bermakna jangan ada sesiapa lagi
mempertikai, meragui atau mengungkit-ungkit keputusan Hakim Nazlan terhadap
Najib itu.
Tutup kes dan terima sajalah ketetapan mahkamah itu dengan penuh
keredaan kerana segala keputusan yang telah dibuat adalah berdasarkan bukti
serta saksi yang dikemukakan serta diri Hakim Nazlan yang disahkan tidak
tercemar. – ShahbudinHusin
19/06/2023.