Pertahan 3 negeri, buat kejutan di negeri pembangkang


 

Kongres Nasional Khas KEADILAN yang diadakan hari ini seharusnya membincangkan persiapan mempertahankan negeri yang mana KEADILAN jadi kerajaan dan berusaha untuk membuat kejutan di 3 negeri yang tidak dikuasai.



Hal itu dinyatakan dalam ucapan penghantar Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli dalam majlis makan malam KEADILAN, malam tadi di Shah Alam.



Selorohnya, parti beri 'jamuan makann yang sedap' maka selepas ini anggota dan pimpinan perlu berkerja kuat menghadapi PRN dalam tempoh 3 - 4 bulan akan datang.



"Bagi parti, malam sebelum kongres, 3 - 4 bulan sebelum PRN parti jemput dan raikan, bagi makan kambing yang sedap, sebab saudara saudari balik, ada 4 bulan untuk berkerja kuat. Supaya kita pertahankan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, kita buat kejutan di Kedah dan dapatkan prestasi terbaik di Kelantan dan Terengganu," katanya.



Bagi Rafizi tiada yang mustahil sekiranya anggota parti berusaha keras. Malah perjuangan 24 tahun untuk meletakkan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang pada awalnya mustahil kini telah pun menjadi kenyataan.



"Tidak ada yang mustahil kalau melihat sejarah parti dan sejarah saudara Anwar. Tadi pun saudara Anwar sebut kita kadang kadang tak terlintas berada dalam kerajaan.



"Sebab masa kita untuk sampai ke sini panjang dan melibatkan pengorbanan semua orang terutama yang hadir dalam dewan pada malam ini," katanya lagi.