Perjuangan 25 tahun untuk Presiden KEADILAN diangkat menjadi
Perdana Menteri Malaysia bukanlah penamat tetapi merupakan permulaan baharu
untuk merealisasikan reformasi sebagai arus perdana negara.
Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
mengungkapkan hal itu dalam ucapan pembukaan Kongres Nasional Khas KEADILAN di
Stadium Melawati pagi ini.
Menurut beliau, kongres kali ini berbeza kerana KEADILAN menjadi
parti utama dalam kerajaan setelah 3 tahun sebelum itu dikhianati dan cuba dimusnahkan
oleh pemimpin yang belot.
"Kongres khas kali ini berbeza. Kita telah melalui cabaran,
malah melalui episod pengkhianatan tetapi pada akhirnya kita bukan sahaja
berpeluang berada di tampuk pentadbrian Putrajaya malah lebih manis pemimpin
kita kasihi Datuk Seri Anwar diamanahkan sebagai PM Malaysia ke 10.
"Banyak ujian yang kita tempoh dan cabaran ini belum
berakhir. 25 tahun pengalaman tentunya banyak kekuatan untuk meniti ranjau
perjuangan.
"KEADILAN beruntung tatkala terakam dalam perjuangan parti,
datang dan pergi KEADILAN terus punya pendukung yang kekal setia, tegar
menggerakkan arus reformasi sehingga kita masuk ke bandar dan desa, mendapat
sokongan pelbagai kaum etnik, peringkat umur. Inilah reformis sejati yang akan
terus menyemarakkan obor perjuangan ini," katanya.
Menurut Saifuddin lagi, anjakan perjuangan berlaku dari fasa
Pakatan Harapan kepada Kerajaan Perpaduan namun idealisme KEADILAN seharusnya
kekal dan kali ini lebih baik dengan usaha menegakkan Masyarakat Madani di
Malaysia.
"Ini menuntut kita untuk menginsafi. Ini nasihat presiden
sewaktu mengalu alukan perwakilan dalam majlis makan malam semalam. Amanah ini
mesti dijaga.
"Kita bulatkan tekad perjuangan, kita melangkah sederap
sebagai agen perubahan yang menymbang kepada sebuah Malaysia Madani yang kita
impikan.
"25 tahun perjuangan bukan penamat, ini baru permulaan kepada
tugas besar yang lebih mencabar," katanya sebagai pembukaan Kongres
Nasional Khas KEADILAN.