Filem ANWAR The Untold Story yang akan ditayangkan pada Mei ini bakal mendedahkan versi sebenar bibit krisis politik sehingga menjurus pemecatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 September 1998.
Bagi Penerbit Eksekutif filem berkenaan Zukiflee Anwar Haque atau lebih dikenali sebagai Zunar, begitu banyak cerita mengenai sosok tokoh karismatik berkenaan berada di public domain namun sejarah versi sebenarnya hanya sedikit yang diketahui rakyat kerana telah dihitamkan di media massa sejak pemecatan 1998 sehinggalah Anwar diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 10 pada November 2022.
"Masalah public domain ketika itu banyak perkara yang tidak disiarkan media secara adil. Jadi public domain ketika itu tidak menjadi public domain, kerana digelapkan media.
"Terus terang filem ANWAR The Untold Story ini mengenai cerita dari versinya Anwar. Ada yang jadi public domain dan ada juga yang orang samar samar atau tidak tahu sama sekali. Kami buat filem ini dari versi yang jarang didengar di Malaysia
"Public domain dalam bentuk yang sangat terpendam. Contohnya cerita dalam lokap, kami ambil dari laporan lengkap siasatan Anwar, tiada rakyat yang tahu. Yang lain juga level public domain tetapi masyarakat tidak tahu.
"Kami berusaha mengangkat dari dokumen perundangan dan hasil interview dengan orang orang (rapat) terlibat (dengan kejadian)," katanya menjawab soalan wartawan dalam sidang media di majlis peluncuran filem Anwar di W Hotel, Kuala Lumpur, semalam.
Sidang media filem berkenaan juga membariskan pengarah filem Viva Westi, pelakon utama Farid Kamil yang memegang peranan Anwar, Hasnul Rahmat (Mahathir) serta beberapa yang lain.
Menjawab soalan wartawan mengenai persoalan rasuah yang menjadi tema utama cerita berkenaan dan berkemungkinan tokoh tertentu yang yang masih hidup akan terkesan dan bertindak, Zunar berkata, beliau telah berbincang dengan pengarah dan penerbit sebelum filem itu bermula, dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
"Filem biopic ini banyak yang tidak puas hati, watak antagonis mungkin digambar secara yang mereka tidak suka. Pasti ada orang yang antara mereka digambar perasuah akan mengambil tindakan
"Kita telah bincang dengan pengarah, namun kita membuat filem ini dari cerita sebenar dan bukan direkayasa. Kita sudah buat kajian tetapi sekiranya ada tindakan kami tak dapat mengelak," katanya.
Zunar turut ditanya mengapakah filem berkenaan diarahkan sutradara Indonesia bukannya Malaysia.
Menurut Zunar, agak sukar untuk mencari pengarah Malaysia yang sanggup untuk membuat filem politik pada waktu negara masih lagi dikawal oleh regim yang kurang demokratik pada ketika penggambaran.
"Kita mesti ingat filem ini adalah satu satunya filem yang tidak ikut naratif pemerintah ketika itu. Bagi saya lebih sulit kalau mengambil pengarah dari Malaysia. Lebih mudah kalau ambil pengarah itu dari Indonesia. Kerana itu ia jadi seperti itu," katanya.
Berkenaan pemilihan pelakon utama yang dilaporkan ditawarkan kepada beberapa pelakon, tetapi hanya Datuk Farid Kamil yang sanggup memainkan peranan, hal berkenaan berpunca daripada situasi politik ketika filem tersebut dibuat, yang mana Anwar merupakan pesaing utama Perdana Menteri sedia ada.
Datuk Farid Kamil menjawab, beliau sebagai pilihan terakhir dan beliau adalah yang paling berani untuk memainkan peranan.
"Saya pelakon yang terakhir dipilih kerana pelakon lain tidak ada keberanian untuk mengambil risiko yang bakal terjadi.
"Sebab mereka dari negara lain, juga dari negara kita tahu risiko bakal dihadapi sekiranya Anwar tidak menjadi PM dan filem ini siap, dan mereka akan diban (banned) dan mereka akan dikenakan macam macam benda yang tidak sepatutnya dikenakan
"Jadi itulah risiko yang saya ambil. Saya tawakal kerana setelah saya baca nashkah, saya buat kajian, apa yang saya sampaikan saya dapati ada banyak kebenaran dalam cerita ini. Di ketika itu, itulah saya zahirkan (dalam lakonan)," katanya.
Filem Anwar menjalani penggambaran di Malaysia dan Indonesia selama kurang setahun dan menelan belanja sebanyak RM10 juta.
Tempoh penceritaan filem ini dari 1993 hingga 1998 ketika Datuk Seri Anwar menjadi Menteri Kewangan sehingga dipecat pada September 1998.