Pejuang, parti yang dipimpin oleh Mukhriz Mahathir mengesahkan telah menulis surat kepada Mahiaddin Md Yasin untuk menjadi anggota komponen PN.
Katanya, keputusan tersebut dibuat selepas mereka mencapai kesepakatan melalui Majlis Eksklusif Pusat (MEP) Pejuang, dua hari lalu.
“Keputusan untuk membuat permohonan ini telah disepakati oleh MEP Pejuang dua hari lepas setelah penelitian dan penilaian khusus semua pilihan gabungan atau kerjasama politik yang ada.
“Ini adalah sesuai dengan mandat yang kami perolehi daripada perhimpunan agung Pejuang kali kedua,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sebelum ini Pejuang mengambil keputusan berundur daripada GTA atas alasan bagi memberi tumpuan kepada usaha pengukuhan parti itu sebelum mahu mencari nilai tambah kepada mana-mana gabungan yang akan disertainya.
Sementara Tun Mahathir Mohamad telah keluar daripada Pejuang dan kini menyertai Putra yang dipimpin Ibrahim Ali, Pejuang sebaliknya mengambil langkah terbalik untuk bersama dengan PN yang dipimpin Mahiaddin yang sebelum ini pernah memecat beliau dan bapanya daripada Bersatu.
Apakah PN sedia menerima Pejuang sebagai komponen terbarunya?
Bukanlah rahsia lagi, bahkan sudah terang lagi bersuluh, tujuan dan matlamat utama Pejuang memohon menyertai PN adalah untuk menyelamatkan empat kerusi Dun yang dimilikinya sekarang ini – dua di Kedah dan dua lagi di Selangor.
Empat kerusi itu pada PRU 2018 lalu dimenangi oleh calon Bersatu melalui PH yang bertanding menggunakan lambang PKR.
Berikutan krisis dalam Bersatu pada 2020 lalu, empat Adun berkenaan, termasuk Mukhriz sendiri telah beralih menyertai Pejuang yang diasaskan Tun Mahathir.
Dengan menyertai PN, Pejuang berharap mereka akan terus diberi laluan bertanding di empat kerusi tersebut, seterusnya berpeluang lagi mengekalkan kemenangan untuk mampu terus bernafas dalam persada politik negara ini.
Pun begitu, menjelang PRN tidak lama lagi dan setelah memperolehi kejayaan membanggakan pada PRU15 baru-batu ini, Bersatu yang merupakan tunjang PN tanpa keraguan juga mempunyai keyakinan penuh mampu menang di empat kerusi berkenaan tanpa masalah.
Maka, oleh sebab Pejuang menyertai PN sebenarnya dengan tujuan dan disertai syarat terlindung bagi membolehkan mereka diberi laluan bertanding lagi di empat kerusi itu, boleh dikata hampir mustahil permohonan mereka akan diterima oleh Mahiaddin.
Bagi Bersatu, untuk apa mereka memberi laluan kepada Pejuang bertanding lagi, sedangkan mereka sendiri atas tiket PN dan dengan bantuan Pas, langsung tiada masalah untuk memenangi empat kerusi Dun itu.
Di mata PN dan Bersatu, Pejuang sebenarnya tiada nilai fambah kepada mereka berikutan prestasi buruk hilang deposit semua kerusi yang ditandingi pada PRU15 baru-baru ini.
Permohonan Pejuang menyertai PN barangkali tidak berdepan sebarang masalah jika parti itu tidak meletakkan sebarang syarat, bahkan dengan sukarela sedia melepaskan empat kerusi Dun yang dipegangnya sekarang kepada Bersatu, malah tidak menuntut untuk bertanding di mana-mana kerusi Dun yang lain.
Sediakah pula Mukhriz dan Pejuang masuk percuma begitu saja ke dalam PN? – ShahbudinHusin 02/03/2023.