Oleh: Muhammad Faisal Abdul
Aziz
ULASAN: Perubahan itu sendiri tidak dapat
ditahan-tahan, seperti kata Haji Mihad, "ia laksana cahaya yang terkurung
yang akan mencari jalan merembes keluar melalui rongga atau retak biar seseni
sekalipun”.
Itulah bait kata-kata penting Imam Haji Mihad, watak utama karya
Sasterawan Negara Almarhum Datuk Abdullah Hussain dalam novel Imam.
Novel Imam adalah satu karya besar menjadi kebanggaan kita yang
memenangi Hadiah Novel Nasional 1992-1994 serta tempat pertama Sayembara Sako
anjuran Utusan Publication dan Public Bank.
Lebih utama karya ini adalah satu ceritera tentang "cerita
kita". Watak-watak dalam novel ini adalah watak yang hidup dan masih hidup
pada zaman kita.
Watak baik, jahat dalam
hierarki agama
Watak jahat seperti penunggang agama, watak baik - tokoh agamawan
yang ikhlas menjernihkan serta memurnikan masyarakat, perpecahan masyarakat
dengan anasir kafir mengkafir, solat dua imam, akibat ketaksuban, adalah satu
kisah yang ada dalam masyarakat kita.
Hari ini, dalam senario masyarakat teraba-raba mencari pedoman,
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersama Alkahfi Pictures berganding bahu
mengangkat kembali mesej-mesej tersirat dari Karya Sasterawan Negara tersebut.
Manakan tidak, ia sinonim dengan agenda ABIM utamanya yang
konsisten membawa agenda pembaharuan - Islah dengan nuansa kosmopolitan iaitu
menjurus ke arah kebaikan, keterbukaan, saling memberi manfaat sesama manusia
dalam masyarakat.
Justeru, tanggal 2 Mac 2023, karya tersebut akan diadaptasi dalam
bentuk Filem Imam yang bakal menembusi panggung di seluruh negara.
Mengapa karya Imam
Mengapa dipilih IMAM dan apa signifikannya dalam masyarakat?
Dalam masyarakat Melayu, IMAM adalah pemimpin agama yang amat
dipercayai.
Secara tradisi IMAM ada kedudukan istimewa dalam masyarakat
Melayu.
Apa yang kita cuba ketengahkan dalam Filem IMAM / pemimpin adalah
pilihan buat masyarakat Melayu untuk memiliki Imam. Watak Imam yang bagaimana
yang harus menjadi pemimpin umat?
IMAM yang mencerahkan bangsa atau menggelapkan.
IMAM yang berani atau hanya mengikut arus dengan budaya mengalah.
IMAM yang menghargai keterbukaan atau IMAM yang jumud.
Watak Imam Haji Mihad cuba untuk membawa perubahan ke arah
kebaikan, menipiskan kebekuan yang wujud dalam pemikiran masyarakat, berasaskan
hujah untuk kita berfikir namun siap berhadapan risiko.
Watak Haji Syamsuri adalah pemimpin agama yang jumud, menolak
perubahan tanpa hujah, selesa dengan iklim kebebalan yang menjatuhkan akal
umat.
Haji Mihad berperanan mendidik masyarakat untuk mandiri. Dalam
kesederhanaannya, beliau tetap tegas memperjuangkan akauntabiliti dan ketelusan
membabitkan harta atau wang amanah yang diuruskan atas nama kepentingan umat.
Berbeza dengan Haji Syamsuri, yang selesa mahu rakyat bergantung
hidup dengan beliau tanpa memberi ruang untuk mereka berdikari.
Jika diteliti, Filem ini yang diinspirasikan melalui Novel SN
Abdullah Hussain "IMAM" ia adalah latar yang pernah berlaku. Bukan
hanya latar 1950-an dan 1960-an tetapi sebelum itu lagi.
Mencermati tulisan Arwah Prof Azyumardi Azra, ada disinggung
peranan ulama reformis alam Melayu pada kurun ke 17 bila mana mereka yang
dikenali sebagai pelajar Jawi di Haramayn, kembali ke tanah air cuba untuk
membawa perubahan.
Seperti Shaykh Nūr al-Dīn al-Ranirī (1658), Shaykh ‘Abd al-Ra’ūf
al-Sinkilī (1693), Shaykh Muhammad Yūsuf al-Maqassarī (1699), Shaykh Dawūd
al-Faṭanī (1847), Shaykh ‘Abd al-hamad al-Falimbanī (1785), dan Shaykh Muhammad
Arshad al-Banjarī (1812).
Filem menuntut pemikiran kritis
Di alam Melayu, tokoh-tokoh ini menurut beliau bukan hanya
meluruskan pemikiran umat di lokaliti masing-masing dalam beragama khususnya
dalam dimensi ketauhidan aqidah.
Mereka juga berjaya membawa perubahan dalam pentadbiran serta
keadilan sosial di wilayah masing-masing.
Justeru, filem ini bukan semata kisah biasa-biasa tetapi ia
menuntut kita terutamanya masyarakat Melayu untuk berfikir sejenak.
Di kala meletakkan Imam sebagai pemimpin utama masyarakat, perlu
ada satu anjakan dan naratif baharu agar Imam yang membimbing masyarakat itu
adalah Imam yang yang sentiasa di jalan lurus, berasaskan hujah, membawa umat
ke arah pencerahan serta berfikiran terbuka.
Sebaliknya pemimpin yang membungkam umat dari berfikir, membawa
sentimen menakutkan umat, menjumudkan pemikiran bangsa serta selesa membiarkan
umat di arus yang salah harus dihindarkan.
Kerana keyakinan kita perubahan ke arah kebaikan itu adalah
sebahagian dari lumrah kehidupan, memerlukan keberanian umat untuk bertindak
secara kolektif, perbaharui cara fikir, jalan yang dilalui serta aspirasi masa
depan.
________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)