Sesudah acara rasmi di Rizal Park, saya langsung ke University
of the Philippines untuk menyampaikan syarahan umum berjudul ‘30 Years After
The Asian Renaissance: Strategic Takeaways for ASEAN.
Sebelumnya saya menerima ijazah Doktor Kehormat (Honoris Causa)
Doctor of Law dari University of the Philippines.
Dalam ucaptama, saya singgung sejarah penubuhan ASEAN serta
kemajuan dan perubahan dari segi kerjasama antara negara tetangga di rantau
ini, dan menekankan bahawa perserikatan ini mesti terus terpahat atas hujah
berkongsi identiti yang sama meski rencam bangsa dan budaya.
Konsep ini dicerakinkan dengan baik oleh ‘The Great Malayan’ Dr.
José Rizal dalam ‘The Philippines a Century Hence’ tatkala negara Filipina
tertubuh kuat meski berlainan kepulauan, bahasa, budaya dan etnik.
Selain itu, saya amat berharap ASEAN terus berpadu dan kukuh
dalam menyikapi isu-isu mendesak terutamanya di rantau ini kerana berdiam diri
tatkala berdepan kezaliman bukanlah pilihan.
Saya turut menghimbau sejarah lampau tatkala saya sering ke
Manila di tahun-tahun lampau semasa masih sebagai seorang mahasiswa dan
universiti ini adalah tempat yang akan pasti dikunjungi untuk perbincangan
terkait pelbagai hal bersama sahabat-sahabat di sini. Justeru, Manila sangat
istimewa dan bukanlah kota asing buat saya secara peribadi.