ZAID IBRAHIM MAHU TANDING MT UMNO

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim yang baru-baru ini diterima semula sebagai ahli UMNO berhasrat untuk bertanding sebagai Ahli Majlis Tertinggi parti itu pada pemilihan yang akan berlangsung 18 Mac depan.

Katanya, beliau berhasrat untuk bertanding bagi menyumbang idea dan pemikiran bagi memperkukuhkan lagi parti dalam menghadapi cabaran yang pasti lebih sengit selepas keputusan buruk yang diterima UMNO pada PRU15 lalu.

“Saya yakin dengan sedikit pengalaman yang ada, disertai dengan sifat semulajadi saya yang berani dan ikhlas, saya mampu menyumbang untuk memastikan kepimpinan UMNO sedia ada dapat diterima rakyat pada tahap yang optimum,” ujarnya berkenaan hasratnya itu.

Selain itu, tegasnya, beliau juga berhasrat untuk memperjuangkan prinsip keadilan yang menyeluruh jika terpilih sebagai Ahli MT UMNO nanti.

Ini kerana, menurut beliau, ramai orang seperti takut untuk bercakap mengenainya atas pelbagai kepentingan atau lupa tentang keadilan itu sendiri apabila sedang berkuasa dan hanya berani bercakap semula mengenainya setelah tidak lagi berkuasa.

“Ia suatu sikap yang tidak betul, sedangkan keadilan itu sepatutnya sama dalam semua keadaan dan di kedudukan mana pun kita berada,” tambahnya lagi.

Kata Zaid yang merupakan ahli UMNO Cawangan Bukit Damansara dalam bahagian Segambut, disebabkan perjuangannya dalam UMNO kini bukan lagi untuk mengejar jawatan, kedudukan atau kekayaan, beliau yakin mampu melakukan sesuatu yang bermakna untuk masa depan parti itu.

“Semua itu sudah berlalu dalam matlamat hidup saya, keutamaan saya kini hanya untuk memberi sumbangan dan memberi nilai tambah kepada perjuangan UMNO,” tegas beliau.

Bagi tujuan itu dan menyedari keahlian UMNOnya baru saja diterima pada tahun lalu, beliau baru-baru ini telah menulis surat kepada Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan agar dirinya diberi pelepasan untuk bertanding dalam pemilihan mendatang ini.

“Saya difahamkan seseorang itu hanya boleh bertanding setelah dua tahun menjadi ahli UMNO.

“Dalam kes saya, saya telah dipecat daripada UMNO tanpa sebab yang munasabah pada 2008.

“Mengambil kira kes Lokman Adam yang diterima semula sebagai ahli UMNO baru-baru ini setelah dipecat beberapa tahun lalu dan seterusnya dibenarkan bertanding dalam pemilihan parti yang akan datang ini, saya juga sepatutnya dikembalikan hak untuk bertanding bersekali dengan keputusan parti menerima saya semula sebagai ahli UMNO.

“Saya tidak patut dikenakan syarat selepas dua tahun menjadi ahli UMNO baru boleh bertanding kerana saya bukan ahli yang baru, sebaliknya sudah menjadi ahli UMNO sejak tahun 1986 lagi,” hujah Zaid.

Untuk itulah, katanya, maka beliau menulis surat kepada Setiausaha Agung agar ada pertimbangan berasaskan keadilan diberikan kepadanya.

“Saya harap UMNO dan Presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi dapat menilai permohonan saya ini dengan adil dan objektif,” demikian harapan Zaid. – ShahbudinHusin 21/02/2023.



No comments: