Veteran politik Datuk Seri
Shahidan Kassim menyuruh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi cermin
diri sendiri.
Veteran politik dalam UMNO Datuk Seri Shahidan Kassim berkata
parti itu sepatutnya mengambil tindakan terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
kerana mengkhianati keputusan ‘Top 5’ dalam pemilihan calon Pilihan Raya Umum
Ke-15 (PRU-15).
Mengulas
keputusan UMNO untuk memecatnya Shahidan berkata Zahid tidak perlu memberi
amaran kepadanya sebaliknya beliau yang perlu ‘cermin’ dirinya sendiri dan
bertanya adakah beliau ikhlas dalam memperjuangkan parti.
“Sewajarnya
Presiden UMNO yang dipecat kerana dirinya sendiri yang buat khianat disebabkan
tidak ikut keputusan Top 5.
“Apa hebatnya
dia (Zahid) dan kita takut parti ini (UMNO) memberi perlindungan kepada
perasuah seperti dia berdasarkan apa yang dia beritahu dalam perhimpunan MIC
baru-baru ini.
“Dia menyatakan bahawa Timbalan Presiden UMNO, MCA dan MIC perlu
beri kemenangan kepada BN kerana mereka semua akan dihadapkan ke mahkamah atas
kes rasuah yang mereka dijangka hadapi,” kata Shahidan.
Mengulas
lanjut, Shahidan yang mempertahankan kerusinya di Parlimen Arau pada PRU-15 ini
atas tiket Perikatan Nasional (PN) berkata beliau berasa pelik melihat tidak
banyak calon BN yang secara naratifnya memperakukan Datuk Seri Ismail Sabri
Yaakob sebagai ‘poster boy’ dan calon Perdana Menteri BN.
“Semua parti
termasuk PN, Pakatan Harapan (PH) sudah menyatakan calon Perdana Menteri
masing-masing seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim,
namun puak (BN) ini bagaikan senyap dan tidak berani untuk menyatakan pendirian
mereka,” katanya menurut Harian Metro.
Menurut
Shahidan beliau tidak peduli sekiranya dipecat daripada UMNO.
Katanya
beliau sedang giat menjalankan gerakan bagi memartabatkan perpaduan ummah
menerusi undi UMNO, PAS dan Bersatu di Parlimen Arau dan negeri Perlis.
“Kempen
berjalan dengan lancar dan sebagaimana saya sudah sebutkan bahawa Insya-Allah
gerakan untuk memartabatkan perpaduan ummah menerusi UMNO, PAS dan Bersatu
duduk di bawah satu bumbung sedang diusahakan.
“Insya-Allah
kita akan mula gerakan di Arau di mana orang UMNO, PAS dan Bersatu akan sokong
saya dan ini akan menampakkan bahawa jumlah yang kita dapat nanti bahawa orang
mahu kepada perpaduan ummah di Arau,” katanya.
Beliau yang
juga penyandang kerusi tersebut berkata demikian kepada pemberita ketika
ditemui melakukan kempen secara santai bertemu pengundi di Kampung Mengkuang
Layar, Tambun Tulang, di Arau, hari ini.
Dalam PRU
kali ini, Shahidan berhadapan dengan cabaran daripada calon Barisan Nasional
Datuk Rozabil Abd Rahman dan calon muda PH, Fatin Amelina Fazlie bagi kerusi
Parlimen Arau.