FMT Reporters
PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menyenaraikan kegagalan Perikatan Nasional (PN) ketika gabungan itu memerintah selama 18 bulan.
Katanya, kegagalan itu termasuk pengurusan teruk ketika pandemik Covid-19, gagal menyediakan diskaun bagi bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan dakwaan pembabitan pemimpin Bersatu-PN dalam skandal.
“Di bawah pentadbiran Muhyiddin (Yassin) dan PN sebagai perdana menteri, rakyat melalui dua tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang panjang yang memusnahkan ekonomi rakyat biasa.
“Tindakan-tindakan itu tidak pula berjaya menguruskan wabak Covid-19 dengan baik apabila negara mencatatkan 4.92 juta kes dan kematian 36,482 orang,” katanya dalam kenyataan.
Rafizi berkata, janji PN berhubung PTPTN dalam manifesto yang dilancarkan, baru-baru ini, sepatutnya sudah terlaksana ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri dan ketika Wan Saiful Wan Jan sebagai pengerusi PTPTN.
“Lebih-lebih lagi apabila tawaran-tawaran itu tidak dibuktikan dapat dilaksanakan dalam keadaan kekangan kewangan yang ada.
“Sekarang pun, PTPTN terpaksa meminjam daripada institusi kewangan swasta pada kadar komersial dan memberi pinjaman pada kadar lebih rendah, tanpa berjaya mengutip pinjaman sepenuhnya,” katanya.
Katanya, sehingga kini, Muhyiddin dan PN tidak menafikan keterlibatan pimpinan kanannya dalam skandal, sambil menyatakan bekas menteri Bersatu antara ahli politik dinamakan dalam laporan audit forensik mengenai kelewatan projek kapal tempur pesisir (LCS).
“Sehingga kini, Bersatu tidak memberi sebarang penjelasan atau menafikan perkara ini. Tindakan Bersatu seolah-olah mahu perkara ini dilupakan begitu sahaja oleh rakyat,” katanya.
Rafizi menyeru pengundi tidak lupa rekod kegagalan pentadbiran Muhyiddin dan PN selama 18 bulan.
“Memberikan undi kepada PN samalah seperti kita mengundang kembali pengalaman sengsara 18 bulan itu,” katanya.