Barisan Nasional (BN) perlu
menang terlebih dahulu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) baharu isu berhubung
tawaran tiga jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) boleh dipertimbangkan, kata
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana
Menteri kerajaan sementara itu mengulas berhbung kenyataan Pengerusi BN, Datuk
Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini yang berkata tiga jawatan TPM akan
diwujudkan yang terdiri daripada wakil negeri Sarawak dan Sabah jika berjaya
menang PRU-15 nanti.
“Tak
tahu lagi, biar kita menang PRU dulu. Kalau benda ini dalam manifesto, tentu
sahaja kita pastikan ia dilaksanakan.
“Kita
tunggu lepas menang dulu. Baru kita bincang,” katanya dipetik laporan media
hari ini.
Jelasnya lagi, perkara
dibangkitkan Zahid itu akan dibincangkan terlebih dahulu dan perlu menunggu
sehingga tiba hari keputusan PRU-15.
“Tentu
sahaja kalau teruskan dengan cadangan ini, manifesto kita ini, tentunya nama
itu dari Sabah. Kalau wakil Sabah, tentunya Sabah bagi nama. Kalau wakil sarawak,
kerajaan Sarawak akan bagi nama. Kita akan bincang.
“Tapi
tunggu dulu lah. Biar undi kita dulu,” katanya lagi.
Semalam,
Zahid mencadangkan gabungan itu melantik tiga TPM jika ia memenangi PRU pada 19
November.
Selain
Zahid, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengutarakan cadangan yang
hampir sama untuk mewujudkan jawatan TPM bagi mewakili negeri borneo tersebut.
Namun,
Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengkritik BN dan
Pakatan Harapan (PH) kerana membuat janji untuk mewujudkan jawatan tersebut dan
menyamakannya dengan tawaran “mi segera” untuk memenangi Sabah dan Sarawak.