PRU peluang untuk rakyat tentukan siapa lebih baik
Rakyat perlu memikirkan secara bijaksana kelebihan yang mereka miliki dalam Pilihan Raya Umum ke 15 akan datang.
Menurut Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, naratif bahawa pilihan raya untuk memilih kerajaan yang mempertahankan kaum tertentu dan tidak boleh dijadikan arus perdana pemikiran.
Katanya, PRU sebaliknya merupakan peluang untuk rakyat memilih yang terbaik bagi memerintah 5 tahun ke hadapan.
“Sekarang kos sara hidup meningkat, dan yang paling susah tentulah kelas menengah. Terutamanya B40 yang sekarang (mengembang) jadi B60.
“Politik bukan untuk mempertahankan kuasa dalam segala cara. Tetapi politik pilihan raya ialah gelanggang untuk rakyat bangkit lawan penindasan,” katanya dalam ucapan di Majlis Makan Malam Pakatan Harapan Pulau Pinang, malam tadi.
Anwar menyelar pemimpin negara yang tidak sudah sudahnya merompak kewangan kerajaan dan berlaku di pelbagai agensi.
“Sebut sahaja agensi, tentera laut ada masalah LCS, sebelumnya kapal selam.
“Kepada syarikat siapa (komisyen), Razak Baginda. Kepada VVIP, keluarga Menteri disebut komisyen, kalau rakyat bawah, polis, penguatkuasa kalau ambil RM200 disebut korupsi.
“Setiap kos meningkat, LCS tak terjawab sampai sekarang,” katanya.
Menurut Anwar, demi memperbaiki kehidupan rakyat dan meningkatkan taraf sosio ekonomi beliau secara berstrategi beralih bertanding di Perak, sebuah negeri yang kaya hasil bumi tetapi rakyatnya tidak mendapat pembangunan sepatutnya.
“Itu sebab mengapa saya pilih parlimen Tambun Perak untuk bertanding supaya dapat menarik minat rakyat ke Tambun dan mudah mudahan kalau kita menang, kita angkat martabat Perak dan boleh bersaing dengan Pulau Pinang sebagai penjana ekonomi baru,” ujarnya.
Selain itu, Presiden KEADILAN itu juga menyeru rakyat menilai tawaran parti parti yang bertanding berdasarkan polisi yang dijanjikan, bukannya bantuan one off yang tidak seberapa, apatah lagi gula gula pilihan raya yang nilainya bertahan untuk hidup sebulan.
“Yang kita nak dengar dalam percaturan pilihan raya, idea apa dalam ekonomi. Bagaimana nak tingkatkan mutu pendidikan. Bagaimana nak tingkatkan nila tadbir urus negara. Bagaimana jamin kemudahan kesihatan lebih baik. Semua bermula dengan dasar yang boleh memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.
“Ini bukan soal Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan. Bila tak boleh jawab usul DAP, kata dia komunis. Tak boleh jawab hujah saya kata saya Israel, ahli Freemason. Politik jenis apa begini,” katanya.
Tidak lupa, bakal Perdana Menteri ke 10 itu menyeru agar pengundi Pulau Pinang menguburkan ahli politik khianat di Pulau Pinang dalam PRU ke 15.