Tak guna jadi TPM kalau tiada kuasa lulus projek
Jawatan timbalan perdana
menteri (TPM) untuk Sabah dan Sarawak yang dicadangkan itu perlu mempunyai
kuasa untuk meluluskan projek pembangunan atau peruntukan tertentu.
Setiausaha
Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata
kuasa lebih signifikan berbanding jawatan semata-mata.
“Sekiranya
ada jawatan itu (TPM) nanti, ia mesti ada portfolio tertentu yang boleh beri
keberkesanan pada jawatan itu untuk kebaikan Sabah dan Sarawak,” katanya
selepas menghadiri majlis angkat sumpah setiausaha politik kepada Premier
Sarawak di Kuching, lapor FMT.
Baru-baru
ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan tiga jawatan TPM
masing-masing mewakili Sabah, Sarawak dan Semenanjung jika gabungan itu menang
dominan pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.
Cadangan itu menerima reaksi
yang pelbagai daripada lawan politiknya namun disokong orang kuatnya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Setiausaha
Agung UMNO itu menyifatkan tawaran tiga jawatan itu tidak membazir seperti
didakwa banyak pihak, malah lebih menjimatkan walaupun diramalkan tahun depan
negara bakal berdepan krisis ekonomi yang semakin perlahan.
Selain
Zahid, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga membuat tawaran sama seperti
anak muridnya kepada parti dari Borneo itu, tetapi menawarkan dua jawatan TPM
sahaja bagi mewakili Sabah dan Sarawak jika menang PRU-15 nanti.
Suruhanjaya
Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 19 November ini, penamaan calon
pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November.